Ahad, 3 March 2019 | 11:00am
ROY belum temui penyanyi berpotensi membawakan lagu patriotik dengan baik. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Roy belum jumpa pelapis penyanyi lagu patriotik

KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu patriotik popular, Roy berpendapat, kesukaran membawakan lagu genre itu menyebabkan industri muzik ketandusan bakat pelapis.

Roy atau nama sebenarnya, Mohammed Raizan Alwi berkata, lagu patriotik memerlukan penghayatan dan teknik nyanyian yang tersendiri supaya mesej dapat disampaikan dengan berkesan.

“Tidak semua penyanyi mampu membawakan lagu genre itu dengan baik. Ia menjadi antara faktor mengapa industri ketandusan bakat pelapis untuk mengetengahkan lagu patriotik.

“Saya memang berharap akan ada penyanyi lain yang boleh menyanyikan lagu patriotik dengan baik, namun masih belum menemui yang bersesuaian.

“Kebanyakan lagu patriotik berentak march dan teknik nyanyiannya pula agak serius. Tidak ramai penyanyi mempunyai kelebihan itu,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kau Ratnaku itu berkata, selain memerlukan teknik pernafasan yang betul, lagu patriotik turut menuntut kemampuan menyanyi dalam nada tinggi tanpa mengetepikan aspek penghayatan.

Penyanyi berusia 55 tahun ini berkata, dia pernah didatangi rakan artis yang terpaksa menolak tawaran menyanyikan lagu berkonsep kenegaraan kerana tidak yakin.

Mengimbau kembali pembabitannya sebagai penyanyi lagu patriotik, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, ia bermula apabila dia menjayakan program televisyen yang menyiarkan lagu kenegaraan.

“Ketika itu, saya menyanyikan lagu Sejahtera Malaysia. Klip video nyanyian saya itu kerap disiarkan stesen televisyen, termasuk ketika waktu perdana selama dua tahun.

“Sejak itu, saya terus diberi kepercayaan membawakan lagu genre itu sehingga dilabel sebagai penyanyi lagu patriotik,” katanya.

Berita Harian X