Ahad, 3 March 2019 | 8:46pm
Perkongsian majlis meraikan bakal pengantin yang dianjurkan Nelydia tersebar di laman sosial, sejak petang tadi. Nelydia akhirnya mengesahkan dia bakal berkahwin, tidak lama lagi. Foto IG Nelydia Senrose

'Betul... Saya kahwin tak lama lagi'

KUALA LUMPUR: ‘Ya, saya bakal menamatkan zaman bujang, tidak lama lagi.’

Itu reaksi ringkas Nelydia Senrose, 24, apabila perkongsian Instagram (IG) Story (IG) termasuk yang dimuat naik saudara-mara dan kenalan rapat aktres itu yang menghadiri majlis meraikan bakal pengantin yang dianjurkannya di sebuah hotel di sini, tersebar, petang tadi.

Enggan mengulas lanjut, Nelydia mendoakan majlis yang dirancang kelak diberkati dan dipermudahkan.

“Insya-Allah, semoga yang dirancang (majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan) akan dipermudahkan,” katanya kepada BH Online.

Petang tadi, netizen kecoh apabila perkongsian IG Story termasuk yang dimuat naik kenalan Nelydia yang menunjukkan pelakon itu diraikan pada majlis ‘bridal shower’, tersebar.

Ini bagai memberi isyarat Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen, bakal melangsungkan perkahwinan, tidak lama lagi.

Antara kelibat yang dilihat menghadiri majlis itu termasuk kakaknya, Uqasha Senrose; adiknya, Raysha Rizrose serta sepupu, Aprena Manrose.

Apa yang menarik, majlis itu menggunakan tanda pagar myotherhafeznel merujuk kepada nama kekasih Nelydia iaitu jejaka yang dikenali sebagai Hafez.

Tambah Nelydia, majlis itu sebenarnya bertujuan meraikan teman baiknya pada acara minum petang.

Sebelum ini, Nelydia mengaku sudah bersedia untuk menjadi isteri dan memanjatkan doa agar jodohnya dipermudahkan ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci, baru-baru ini.

Tahun lalu, Pelakon drama Encik Suami Mat Salih Celup ini memuat naik foto sebentuk cincin di jari manisnya, sekali gus mencetuskan tanda-tanya dalam kalangan peminat.

Nelydia kemudian dilaporkan mengaku cincin terbabit adalah pemberian Hafez, iaitu seorang ahli perniagaan.

Berita Harian X