Isnin, 4 March 2019 | 11:00am
Impak syair yang dilagukan pada permulaan persembahan di AJL33 mencetuskan idea untuk Sufian menghasilkan karya baharu susulan kejayaan single Di Matamu. - Foto IG Sufian Suhaimi

Impak syair, Sufian rakam lagu tradisional

KUALA LUMPUR: Sufian Suhaimi yang mencetuskan fenomena ketika mendendangkan single ‘berhantu’, Di Matamu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, mungkin menyambung syair yang dilagukan pada permulaan persembahan, menjadi karya baharu.

Pantas menarik perhatian, syair atau puisi berlagu yang didendangkan memberi ilham kepada Sufian untuk menghasilkan lagu berentak tradisional yang menjadi kesinambungan kepada syair sepanjang 45 saat itu.

“Sepatutnya, syair dalam lagu Di Matamu itu menjadi penutup persembahan. Namun, disebabkan kekangan masa, perancangan itu tidak dapat dilaksanakan.

“Jadi kami memilih menampilkan kelainan dengan menyelitkan bait syair pada permulaan aksi,” katanya kepada BH Online.

Bagai menyambung apa yang ditinggalkan, Sufian kemudian memuat naik syair itu dalam media sosial dengan menggunakan tanda pagar #syairdimatamu.

“Saya juga membuka ruang kepada netizen bersyair dan menggunakan tanda pagar berkenaan,” katanya.

Bercerita lebih lanjut dengan lagu baharu yang mahu dicipta, Sufian berkata, konsep dan penceritaan single terbabit tidak sama.

Mengakui bukan mudah menghasilkan single baharu selepas kejayaan Di Matamu, Sufian sebaliknya percaya faktor kekuatan lagu sebagai formula berkesan.

“Di Matamu adalah sebuah lagu yang diletakkan pada kedudukan tinggi. Lagu itu ada kombinasi kekuatan melodi, lirik dan cerita di sebaliknya.

“Melangkah ke hadapan, saya mahu terus berpegang prinsip percaya kepada kekuatan lagu. Selebihnya, saya serah kepada peminat untuk menilai sama ada bagus atau sebaliknya,” katanya.

Sufian mengesahkan dia akan tampil dengan single baharu, tidak lama lagi. Kali ini, dia menggunakan khidmat kreatif, Zayn Nakal sebagai salah seorang komposer dendangan itu.

Berita Harian X