Isnin, 4 March 2019 | 5:57pm
MARSHA berdepan pelbagai halangan dalam proses menyiapkan single terbarunya, Bimbang. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Bimbang buat Marsha sebak

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Marsha Milan Londoh, 34, menyifatkan single terbarunya, Bimbang begitu dekat di hati kerana ia menterjemahkan getir perjalanan yang dilaluinya selama ini.

Marsha yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pada majlis pelancaran single itu mengakui, setiap kali menyanyikan Bimbang, dia terbayang dugaan yang dilaluinya selama ini dan ia membuatkan hatinya tersentuh.

“Pembikinan Bimbang terlalu istimewa kerana saya banyak terbabit dari awal, bermula proses rakaman hingga penggambaran video muzik.

“Bukan mudah untuk menghasilkan lagu, terutama apabila bergerak sendiri. Memikirkan usaha saya bersama pengurus, saya tidak mampu menahan sebak.

“Terlalu banyak dugaan dan cabaran yang kami lalui, terutama dari segi bajet. Pernah juga timbul ketegangan untuk merealisasikan lagu ini, namun Alhamdulillah, usaha kami akhirnya membuahkan hasil seperti yang diharapkan,” katanya.

Bakat yang dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia (AF) musim ketiga pada 2005 itu berkata, Bimbang menceritakan isi hati wanita yang gusar kehadiran orang ketiga dalam hidupnya.

Dia bagaimanapun, melihat lagu itu dari sudut berbeza kerana ia mengingatkan perjalanan yang dilaluinya sebelum dan selepas memeluk Islam.

“Atas sebab itu juga, saya jadi bertambah sebak kerana lagu ini begitu dekat dengan diri,” katanya yang kali terakhir mempertaruhkan lagu duet bersama Qody, Ku Bersumpah, akhir tahun lalu.

Bimbang yang turut menjadi runut bunyi sekuel drama rantaian, Nur 2 dihasilkan Farouk Roman, manakala lirik pula ditulis Amylea Azizan.

Marsha tidak menafikan, populariti drama itu turut menjadi platform untuk mempromosikan lagu terbarunya itu dengan lebih efektif.

“Semua tahu betapa kuatnya impak drama Nur, terutama apabila dinobatkan sebagai Drama Rantaian Terbaik, Anugerah Skrin, baru-baru ini.

“Populariti drama itu memberikan saya tekanan untuk menghasilkan yang terbaik. Penonton juga boleh mengaitkan drama dan lagu, secara tidak langsung, membantu mereka menghayati lagi jalan cerita yang cuba disampaikan,” katanya.

Lagu edaran Seventeen Eleven Music itu boleh dimuat turun menerusi semua platform digital, mulai hari ini, manakala muzik video terbitan Marsha Londoh Entertainment pula boleh ditonton menerusi YouTube.

Berita Harian X