Khamis, 7 March 2019 | 11:00am
SAHARUL mengorak langkah sebagai penyanyi menerusi lagu Buku Putih. Foto Rosela Ismail

Biasalah orang baharu kena kritik - Saharul Ridzwan

KUALA LUMPUR: Pelakon Saharul Ridzwan tidak melatah sekiranya bakat nyanyiannya dipertikai, malah melihat kritikan sebagai lumrah perlu dihadapi apabila mencuba bidang baharu.

Cuma pinta Saharul, 30, usah keterlaluan membandingkan dirinya dengan penyanyi rap sedia ada, memandangkan usia pembabitannya masih mentah.

“Saya menyanyi kerana minat, bukan untuk meraih populariti. Seandainya diberi pilihan, saya masih meletakkan lakonan sebagai keutamaan.

“Namun, jika peminat tetap mahu membandingkan saya dengan penyanyi rap lain, saya anggap ia sebagai penghargaan. Kritikan membuka mata saya supaya tidak terlalu selesa dengan apa yang ada,” katanya.

Saharul yang baru melancarkan single pertama, Buku Putih, duet bersama komposer, Ajai berkata, permulaan langkahnya sebagai penyanyi berlaku secara kebetulan.

“Saya memang meminati lagu rap dan kebetulan, ada menghasilkan sebuah karya. Saya cuba tunjukkan lirik yang saya hasilkan itu kepada abang Ajai.

“Selepas bincang, dia minta saya membawakan sendiri lagu itu. Saya memang tidak boleh menyanyi, tetapi untuk rap, mungkin tiada masalah.

“Saya anggap peluang diberikan ini sebagai rezeki, tetapi, banyak lagi yang perlu saya belajar, terutama dari segi melodi dan tempo,” katanya.

Saharul berkata, seandainya bakatnya diterima, dia berhasrat untuk bergerak aktif, termasuk dalam dunia penulisan lirik.

“Karya ini hasil cetusan saya berdasarkan pengalaman dan kisah peribadi. Ia bermula tahun lalu dan saya pernah memuat naik lirik ini di laman sosial sebagai keterangan gambar.

“Sebagai pelakon, kita ada kenangan yang ingin dikenang dan saya zahirkan ia menerusi penulisan. Alhamdulillah, abang Ajai banyak membantu dalam mengolah dan mencantikkan lagi lirik yang dihasilkan,” katanya.

Berita Harian X