Ahad, 10 March 2019 | 9:30am
PELAKON dan personaliti fesyen, Wak Doyok. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Kisah hidup Wak Doyok tewaskan Siti, Amy

KUALA LUMPUR: Personaliti fesyen dan pelakon, Wak Doyok, tidak menyangka diberi penghargaan oleh masyarakat Indonesia apabila mereka memilih kisah hidupnya untuk difilemkan berbanding dua artis terkemuka tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza serta Amy Search.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, 40, berkata menerusi undian yang dibuat oleh produksi negara itu, dia meraih undian tertinggi dan filem biografi terbabit akan diarahkan oleh Hanung Bramantyo.

"Saya tak sangka menjadi pilihan produksi di sana (Indonesia) kerana saya bersaing dengan dua nama yang sangat besar.

"Insya-Allah, beberapa siri perbincangan akan diadakan sebelum kedua-dua pihak bersetuju meneruskan projek ini," katanya yang ditemui pada majlis sidang media Karnival Jualan Bling Bling Tour 2019, di sini.

Ditanya mengenai persoalan yang mungkin ditimbulkan netizen berhubung pemilihannya, kata Wak Doyok, mana-mana pihak perlu faham dia bukanlah penerbit filem itu atau menjual nama sendiri.

Kata pelakon Abang Long Fadil itu, dia sendiri tidak menyangka ada pihak sudi menghasilkan filem kisah kehidupannya daripada zaman susah sehingga sekarang.

"Saya tidak terbabit pun dalam hal pelaburan filem ini. Jadi, kalau ada yang mempersoalkannya, saya ingin jelaskan di sini, bukan saya yang syok sendiri," tegasnya.

Menerusi filem itu, selain perjalanan hidup sejak zaman sukar sehingga bergelar usahawan berjaya, Wak Doyok juga akan berkongsi kisah cintanya yang selama ini tidak pernah didedahkan kepada mana-mana pihak.

"Diakui, saya seorang yang sangat menjaga soal peribadi. Tetapi untuk filem ini, saya memberi kelonggaran dengan mendedahkan kisah cinta saya kepada umum," ujarnya

Mengenai Karnival Jualan Bling Bling Tour 2019, ia sebuah acara usaha sama antara Kiswah Concept dengan jenama pakaian Wak Doyok.

Sempena karnival itu juga, Wak Doyok dilantik sebagai ikon kerana imejnya yang sinonim dengan dunia fesyen.

Berita Harian X