Selasa, 12 March 2019 | 11:00am
Allisya menunjukkan minat dalam bidang seni sejak kecil. Foto IG Sharifah Shahira

Allisya dapat lampu hijau jadi penyanyi

KUALA LUMPUR: “Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Saya tidak pernah menghalang darah seni yang mengalir dalam badannya, malah sejak kecil sudah nampak minatnya untuk mengikut jejak kami.

“Saya restu apa yang dilakukan Allisya kerana percaya bakat harus dikongsi. Saya juga orang seni, jadi saya tahu apa yang dimahukan anak,” kata penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahira.

Dilihat sering mempromosikan bakat anak sulungnya, Allisya Tahir, 21, hasil perkahwinan pertama dengan vokalis Black Dog Bone, Jatt di laman sosial, Shahira akur, jika gadis itu berminat mengikut jejaknya sebagai insan seni.

Sementara itu, Allisya ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, dia sudah lama memendam impian untuk dikenali sebagai penyanyi, cuma sebelum ini, kurang yakin berkongsi bakat.

Allisya bakal muncul dengan single sulung bersama seorang penyanyi rap. Foto IG Sharifah Shahira

“Diikutkan sejak kecil lagi, kecenderungan sudah ada, malah ibu saudara, Sharifah Sakinah pernah berkongsi rakaman saya menyanyikan lagu Rihanna, Umbrella dengan saudara-mara. Ketika itu, saya baru Darjah Tiga.

“Mungkin kerana malu, impian itu terbantut seketika. Minat itu kembali berputik kembali ketika saya berusia 18 tahun apabila kerap menyanyi karaoke, sedangkan sebelum ini, saya ingin menjadi pengacara.

“Saya mula belajar vokal dan sejak itu, semakin berani merakamkan video nyanyian. Mama juga selalu memuat naik rakaman video saya menyanyi di Instagram dan tidak sangka, ramai yang memuji, biarpun nyanyian saya masih belum bagus,” katanya.

Allisya yang kini bekerja di sebuah syarikat pengurusan bakat remaja perempuan, Giril Republic dalam perancangan menghasilkan single pertama yang turut menampilkan seorang penyanyi rap.

Selain Allisya, Shahira dikurniakan dengan empat lagi anak iaitu Airell, Airra, Audrra dan Adeena, hasil perkongsian hidup dengan pelakon, Ijoy Azhari.

Berita Harian X