Rabu, 13 March 2019 | 11:00am
Sharifah Amani mahu penerbit berlaku adil terhadap anak seni berbakat, bukan menilai penampilan semata-mata. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Sharifah Amani mahu penerbit berlaku adil terhadap anak seni berbakat, bukan menilai penampilan semata-mata. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Itu punca industri rosak - Sharifah Amani

KUALA LUMPUR: Pelakon Sharifah Amani menyifatkan, kecenderungan segelintir penerbit yang mengutamakan penampilan, berbanding bakat menjadi antara punca industri hiburan tempatan rosak.

Sharifah Amani, 33, berkata penerbit seharusnya menitikberatkan bakat, kebijaksanaan dan pemahaman mengenai seni, bukan menggula-gulakan peminat dengan tarikan paras rupa semata-mata.

Dia juga menyifatkan kenyataan penerbit, Datuk A Aida yang meletakkan penampilan sebagai kriteria utama pemilihan bakat baharu mengarut dan tidak berasas.

“Ini antara punca industri kita rosak. Sepatutnya, kita didik penonton, terutama generasi muda supaya menerima bakat dan kredibiliti seseorang pelakon, bukan menilai mereka berdasarkan paras rupa.

“Industri sepatutnya memberi peluang kepada pelakon baharu yang mempunyai bakat kerana rupa semata-mata tidak ke mana. Lihat saja apa berlaku kepada kebanyakan pelakon yang bersandarkan wajah.

“Mereka hanya muncul sekejap dalam industri, tetapi kemudian hilang entah ke mana,” katanya yang ditemui pada sidang media Le French Festival 2019, di sini.

Mengambil contoh pelakon Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan yang dikagumi kerana kredibilitinya, Sharifah Amani juga mahu penggiat seni memberikan lebih fokus kepada bakat jika mahu melihat industri hiburan maju.

“Shah Rukh Khan pada awal kemunculannya juga tidak terlalu kacak, tetapi lihat kedudukannya hari ini. Dia dikenali di serata dunia, malah sampai hari ini, masih berpengaruh di Bollywood.

“Tidak kisah jika bakat baharu yang datang mencuba nasib itu gemuk, kurus atau hodoh sekalipun, mereka patut diberi peluang.

“Jika berbakat, bijak dan faham apa itu lakonan, bimbing mereka. Kita mahu mendidik penonton dengan bakat, bukan paras rupa seseorang,” katanya.

A Aida dalam kenyataannya pada sesi uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 201, Ahad lalu berkata, seseorang pelakon mesti mempunyai pakej lengkap, malah rupa juga menjadi kriteria penting dalam pemilihan, memandangkan bakat boleh digilap.

Berita Harian X