Ahad, 17 March 2019 | 12:00pm
PENYANYI, Awi Rafael, berkongsi gambar kenangan bersama bekas tunangnya, Atikah Suhaime, di laman sosialnya, semalam. - Foto Instagram Awi Rafael

'Terima kasih doakan kami berdua'

KUALA LUMPUR: Biarpun impian mendirikan mahligai bersama-sama tidak kesampaian, Awi Rafael dan Atikah Suhaime memilih untuk terus bersikap positif serta mengelakkan sengketa.

Bahkan, sehingga ke saat ini kedua-dua artis kelahiran Singapura itu terus saling mengikuti akaun Instagram masing-masing.

“Saya dan Atikah mengucapkan terima kasih kepada semua kerana memberikan sokongan serta mendoakan kami berdua.

“Kami akan kekal positif dan cuba meneruskan hidup bersama pengajaran yang kami berdua miliki, sepanjang tahun lalu.

“Tanggungjawab sekarang harus kepada keluarga masing-masing. Insya-Allah, semua akan faham,” kata penyanyi dan komposer itu menerusi perkongsian di laman sosial berkenaan.

Awi menyertakan coretan berkenaan bersama gambar kenangan dengan bekas tunangnya, semalam.

Menerusi perkongsian terbabit juga, penyanyi Kalau Aku Kaya itu mendoakan yang terbaik buat Atikah.

“Buat yang terbaik okey, Atikah. Kita sudah mencuba sehabis baik, tetapi Allah lebih tahu. Amin,” tulis lelaki itu yang mengakhiri coretan berkenaan dengan tanda pagar positif.

Khamis lalu, Awi mengejutkan peminat dengan berita pembatalan rancangan perkahwinan bersama Atikah, yang sepatutnya berlangsung hari ini di Kota Singa.

Atikah pula sebelum itu memuat naik video bersama pesanan agar orang ramai tidak mengecam Awi, saat dirinya akur dengan keputusan bapanya membatalkan pernikahan mereka.

Sementara itu, Awi memperkenalkan single terbarunya, Rahasiaku, Jumaat lalu, yang juga hari kelahiran ke-28 Atikah. Ia juga sepatutnya menjadi lagu istimewa sempena penyatuan mereka berdua.

Rahasiaku ialah hasil nukilan Awi bersama Edi Hamid dan dia sendiri bertindak sebagai penerbitnya, bersama-sama pemuzik terkenal Indonesia, Posan Tobing.

Lagu yang diterbitkan di Kuala Lumpur dan Jakarta itu bakal dimuatkan dalam album baharu Awi, Euphoria. Ia bakal menemui peminat tidak lama lagi.

Berita Harian X