Isnin, 18 March 2019 | 1:00pm
Zul mahu mencari gadis biasa sebagai calon isteri. Foto IG Zul Ariffin

Zul Ariffin idam nikah di Makkah

KUALA LUMPUR: Hero filem Misteri Dilaila, Zul Ariffin menyimpan angan-angan melangsungkan majlis akad nikah di Tanah Suci Makkah atau Madinah.

Bagaimanapun, Zul, 33, memberitahu, ia sekadar impian kerana gadis yang bertakhta di hati, belum ditemui.

“Saya berangan-angan mahu bernikah di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Saya pernah bertanya kepada beberapa teman mengenai prosedur pernikahan di Makkah atau Madinah.

“Bagaimanapun, sekadar bertanya untuk membuat persiapan. Jangan bimbang, saya tidak akan kahwin sorok-sorok apabila sudah tiba jodoh.

“Saya mahu bernikah di Tanah Suci, tetapi majlis resepsi tetap diadakan di Malaysia selepas pulang.

“Besar harapan saya dapat membawa bakal isteri dan keluarga menunaikan umrah bersama-sama,” katanya kepada BH Online.

Zul berkata, dia tidak mahu lagi merancang soal jodoh.

“Dulu, saya ingat dapat berkahwin dengan seseorang. Buat rancangan macam-macam tetapi tidak menjadi.

“Kali ini, saya mahu pilih gadis biasa. Saya tidak kisah sama ada bekerjaya atau tidak, asalkan dapat menjaga saya sebaiknya.

“Saya juga mengharapkan bakal isteri menjaga kerjaya saya, bukan menjahanamkan,” katanya.

Tambah Zul, dia mahu tumpuannya terhadap kerjaya lebih baik selepas berkahwin.

“Sebab itulah saya mahu mencari gadis biasa. Saya mahu pergi dan pulang kerja dengan tenang, tidak serabut dengan masalah peribadi,” katanya.

Berita Harian X