Selasa, 19 March 2019 | 9:00am
Foto Che Ta (kanan) berkaca mata gelap di sisi Siti dan puteri kesayangan, Siti Aafiyah mencetuskan perdebatan netizen. Turut hadir pada majlis hari jadi itu adalah Jihan Muse dan anaknya (kiri). Foto IG Rozita Che Wan

'Orang sakit mata lah'

KUALA LUMPUR: Sebaik foto menampakkan dirinya berkaca mata hitam di sisi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mendukung Siti Aafiyah Khalid pada majlis hari jadi puteri tersayang, tersebar, kelmarin, Rozita Che Wan ‘panas’ lagi.

Rozita yang sering disapa Che Ta, dikritik ‘over’ atau keterlaluan kerana memakai kaca mata hitam di lokasi acara, iaitu di dewan keraian di sebuah hotel di sini, bukannya di taman atau kawasan terbuka.

Ada yang melihat gaya Che Ta pelik dan tidak kurang juga yang menghentam pelakon, pengacara dan usahawan popular itu sengaja mahu mencari publisiti murah.

Bertanya perkara itu kepada Che Ta, ibu kepada Aaisyah Dhia Rana itu kecewa dengan sikap segelintir netizen.

“Sebenarnya, sudah beberapa hari saya sakit mata. Namun, disebabkan sudah berjanji dengan pihak pengurusan Siti selain menghormati jemputan, saya penuhi juga.

“Saya memang berbesar hati hendak memeriahkan majlis. Cuma, sebelum pergi, saya memikirkan bagaimana mahu memenuhi jemputan dengan mata yang sakit.

“Hinggalah teman baik saya menyarankan memakai cermin mata gelap.

“Saya tahu, mungkin ada yang rasa janggal saya bergaya begitu. Tidak mengapa, apa yang penting, Allah tahu niat saya... Maafkanlah netizen (yang melempar kritikan),” katanya kepada BH Online.

Pada majlis meraikan hari jadi Siti Aafiyah, Che Ta hadir bersama Aaisyah dan suaminya, Zain Saidin.

Che Ta mengaku kadang kala pelik dengan sikap netizen.

“Cuba kalau ada artis lain melaram dengan memakai cermin mata gelap di acara anugerah pada sebelah malam... Ada tak yang cakap itu dan ini?” katanya.

Berkongsi gelagat anaknya ketika menghadiri majlis hari jadi Siti Aafiyah, Che Ta berkata:

“Lucunya, apabila disebut mahu ke majlis hari jadi Aafiyah, Aaisyah agak kebingungan.

“Tapi apabila disebut majlis hari jadi anak Datuk Seri Siti Nurhaliza, baru dia kenal,” katanya.

Berita Harian X