Rabu, 20 March 2019 | 9:00am
Syafiq mahu memanfaatkan ilmu dipelajari di universiti dengan menghasilkan filem pendek. Foto IG Syafiq Kyle

Syafiq Kyle idam jadi 'Tuan Direktor'

KUALA LUMPUR: Andai sudah kuasai ilmu bikin filem, masakan mahu dipersia-siakan?

Hero popular, Syafiq Kyle berkongsi impian berjinak-jinak dengan posisi pengarah terutama dalam menghasilkan filem pendek.

Memiliki diploma filem, teater dan animasi dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, Syafiq terfikir menceburi bidang itu selepas mencurahkan idea dalam projek video promosi koleksi busana Aidilfitri, Jiwa dari Kylez by Syafiq Kyle, baru-baru ini.

“Kisahnya, saya terbabit dalam projek menghasilkan video kempen atau promosi pakaian raya ini umpama bidan terjun.

“Kebetulan pengurus mahu menghasilkan iklan dan mencari idea, lalu saya terus kongsi apa yang terbuku dalam hati.

“Mungkin selepas projek kecil ini, saya boleh mengarah filem pendek pula apatah lagi keinginan menang ada.

“Dulu ketika belajar di universiti, saya ada menghasilkan skrip untuk filem pendek,” katanya kepada BH Online.

Syafiq yang mencetuskan fenomena selepas muncul dalam drama rantaian Nur membawa watak Ustaz Adam, tahun lalu, mahu memanfaatkan ilmu pembikinan filem dengan lebih serius.

“Insya-Allah jika dipermudahkan, saya mahu menunjukkan skil dan keluar dari zon selesa.

“Dapat buat filem pendek dan dikongsi di YouTube pun sudah memadai. Saya mahu serlah kemampuan diri yang belum diteroka lagi,” katanya yang bakal muncul dengan musim kedua drama Nur, bulan depan.

Bercerita lanjut mengenai projek video koleksi busana Aidilfitri yang dihasilkannya, Syafiq berkata, dia bertindak sebagai penerbit bersama serta berlakon di samping Nabila Huda dan Anna Jobling.

“Selepas video sama yang dihasilkan tahun lalu, tular, saya sahut cabaran menghasilkan produk sama, tahun ini.

“Tidak kiralah cerita sedih atau lucu, semua video yang dihasilkan pada musim Aidilfitri pantas mengundang emosi.

“Saya percaya video seumpama ini penting dalam menarik minat orang ramai terhadap produk yang dijual,” katanya yang menghabiskan masa sehari untuk menyiapkan video promosi berkenaan.

Berita Harian X