Rabu, 20 March 2019 | 1:00pm
PENYANYI, Haqiem Rusli, lebih selesa membiarkan isu penyebaran gambar lelaki dikatakan miripnya di ranjang bersama seorang wanita lenyap begitu sahaja. - Foto Mahzir Mat Isa

Isu foto di ranjang: Haqiem dilarang buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Haqiem Rusli, meminta masyarakat tidak mudah percaya dengan dakwaan dirinya tidur bersama seorang wanita seperti terpapar dalam foto yang tersebar di Twitter, baru-baru ini.

Sambil menafikan lelaki dalam gambar terbabit adalah dirinya, Haqiem mendakwa foto yang konon sudah disunting itu sebagai usaha pihak tertentu untuk menjatuhkannya.

“Saya tidak boleh nak ulas lanjut, cuma apa yang boleh dikatakan, gambar itu sudah disunting.

“Saya sendiri tak tahu kenapa ramai orang nak menjatuhkan saya? Kalau saya ada buat salah, saya sudah pun meminta maaf. Niat saya menyertai bidang hiburan juga adalah untuk menghiburkan peminat dan membahagiakan keluarga.

“Tak dinafikan, ketika gambar itu mula-mula tersebar di Twitter, emak dan ayah saya sangat terkejut. Selepas saya menjelaskan kedudukan sebenar, barulah mereka lega,” katanya kepada BH Online.

Menurut penyanyi Tergantung Sepi itu, pada mulanya memang dia bercadang untuk membuat laporan polis, namun menarik balik hasrat berkenaan.


PRESIDEN Samsung Malaysia Electronics, Mr Yoonsoo Kim (tengah) bersama artis dan model pada Era of Live Party, Samsung Galaxy A30/A50 di W Hotel. - Foto Mahzir Mat Isa

“Emak melarang saya berbuat demikian kerana katanya, kalau tak salah, kenapa nak kena buat laporan?

“Biarlah orang ramai membuat penilaian sendiri dan saya juga lebih selesa membiarkan sahaja perkara itu. Lama-lama nanti, ia akan senyap begitu sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis E! Samsung Galaxy Party, di sini.

Pada acara itu, Haqiem, 20, yang dilantik sebagai duta baharu telefon pintar berkenaan turut mengadakan persembahan bersama dua duta terdahulu, Nabila Razali dan Ismail Izzani.

Turut ditampilkan ialah bekas peserta program realiti, Britain’s Got Talent, Calum Scott, yang menyampaikan tiga lagu termasuk You Are The Reason.

Berita Harian X