Rabu, 20 March 2019 | 2:56pm
Zarina menjadikan lakonan sebagai platform melepaskan tekanan. Foto IG Zarina Zainuddin

Zarina berlakon hilang 'stress'

KUALA LUMPUR: Lama menanti peluang berlakon, Zarina Zainuddin bersyukur diberi tawaran membintangi drama rantaian berjudul 30 Pesanan Suara terbitan Suhan Movie, milik Datuk Rosyam Nor.

Bakal disiarkan dalam slot Akasia di TV3, Ramadan ini, Zarina mengaku pasrah apabila lama menunggu tawaran sedangkan hati rindu untuk beraksi di kaca televisyen (TV).

“Alhamdulillah, selepas lama menunggu, akhirnya saya dapat tawaran daripada produksi milik Rosyam Nor yang akan disiarkan, Mei depan.

“Bagi saya, setiap pelakon bukan sekadar beraksi, sebaliknya ada peranan besar dalam karakter yang cuba dihidupkan. Dunia lakonan adalah jiwa saya dan pada masa sama, medium untuk melepaskan tekanan.

“Lebih-lebih lagi apabila membawa watak antagonis, segala amarah dan masalah dizahirkan dalam lakonan.

“Membesarkan dua anak autisme, saya tidak boleh meninggikan suara di rumah, jadi lakonan adalah platform untuk saya,” katanya kepada BH Online.

Selain Zarina yang memegang watak Puan Intan, drama berkenaan dibintangi Shukri Yahaya dan Hannah Delisha sebagai teraju utama.

Berkongsi perkembangan perniagaan pulut kuning dan rendang yang diusahakan, Zarina bersyukur produknya mendapat sambutan menggalakkan.

“Saya ada 18 pekerja dengan kebanyakan daripada mereka adalah anggota keluarga. Selain rakan artis, orang ramai juga membantu mengembangkan bisnes pulut kuning saya ini,” katanya.

Berita Harian X