Khamis, 21 March 2019 | 9:27pm
FIFY Azmi mengaku hubungannya dengan Rashidi Ishak sudah seperti abang dan adik. - Foto Instagram Fify Azmi

'Henti kaitkan saya sebagai orang ketiga'

KUALA LUMPUR: Wanita yang dikaitkan dengan Rashidi Ishak, Fify Azmi, menegaskan tiada hubungan istimewa terjalin antara mereka.

Fify bagaimanapun mengaku sudah lama mengenali pelakon lelaki itu kerana pernah bertugas di stesen radio internet yang sama.

"Saya tiada kena mengena dengan isu perceraian Abang Shidi (Rashidi). Malah, kami sebenarnya sudah lama kenal.

“Ketika kami menjalani penggambaran iklan produk minyak wangi (Starrasky) pun, mereka sudah bercerai.

“Saya sendiri sedih dan terkejut apabila mendapat tahu mengenai perkara itu," katanya kepada BH Online.

Fify yang mengaku sudah mempunyai kekasih sejak empat tahun lalu berharap, kenyataannya mampu menjelaskan situasi sebenar dan dirinya tidak lagi dikaitkan sebagai orang ketiga dalam kes perceraian Rashidi dengan Vanidah Imran.

"Saya mendoakan yang terbaik buat mereka. Saya sendiri terkejut apabila mendapat tahu berita sedih itu.

“Saya memang tak sangka nama saya pula yang terpalit dalam kes terbabit. Sedangkan, kami bagaikan abang dan adik," ujarnya.

Spekulasi hubungan Rashidi dengan Fify hangat diperkatakan apabila salinan foto daripada Instagram dipercayai milik Fify, tersebar.

Entri terbabit menunjukkan Rashidi dan Fify bergambar berdua dengan produk minyak wangi, Starrasky, sebagai kempen memperkenalkan barangan berkenaan.

Penyebaran foto itu pantas mengundang tanggapan ramai kononnya Rashidi menjalinkan hubungan dengan Fify sehingga rumah tangganya bersama Vanidah dilanda masalah.

Rashidi dan Vanidah bercerai pada Ogos tahun lalu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Aktor terbabit yang berkongsi berita perceraiannya menerusi laman sosial, semalam, bagaimanapun menegaskan tiada hubungan istimewa antaranya dengan Fify, malah dia kasihankan wanita itu yang menjadi mangsa kecaman netizen.

Berita Harian X