Sabtu, 23 March 2019 | 3:47pm
PELAKON, Vanidah Imran, ketika menjayakan sebuah acara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada November 2017. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tiada apa lagi nak diucapkan - Vanidah

KUALA LUMPUR: “Tiada apa lagi yang saya mahu ucapkan. Saya tidak mahu memanjangkan hal ini.”

Demikian luah pelakon, Vanidah Imran, 45, ketika mengulas berita perpisahannya dengan bekas suami, Rashidi Ishak, 45, yang hangat diperkatakan ketika ini.

“Saya akan meneruskan kehidupan macam biasa. Selain diri ini, saya juga perlu membesarkan anak. Harapan saya, mereka di luar sana termasuk teman media memahami,” katanya.

Rabu lalu, Rashidi mengumumkan berita perpisahannya dengan bintang Red Kebaya itu menerusi laman sosialnya.

Menurut pelakon yang juga pemuzik itu, mereka bercerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 9 Ogos tahun lalu.

Menerusi rumah tangga yang dibina sejak 1 Oktober 2000 itu, pasangan terbabit dikurniakan dua cahaya mata, Mikhail Imran, 18, dan Maryam Rashika, 15.

Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 itu juga berkata, ketika ini dia masih sibuk dengan aktiviti lakonan.

“Saya akan terbang ke sebuah negeri, minggu depan, untuk menjayakan sebuah naskhah berjudul Cinta Kamek. Turut berlakon bersama saya ialah Tony Eusoff,” katanya.

Berita Harian X