Ahad, 24 March 2019 | 3:28pm
Arslan dan Tiz ‘bercinta’ dalam drama rantaian, Sara Sajeeda yang dijangka disiarkan dalam slot Samarinda TV3, selewat-lewatnya Oktober depan. Foto Ihsan Zeel Production

Tiz Zaqyah 'ditambat' jejaka Pakistan?

KUALA LUMPUR: Baru berkongsi foto di laman sosial, sudah ramai pengikut Tiz Zaqyah tidak sabar menunggu aksinya dalam drama rantaian, Sara Sajeeda gara-gara wajah kacak hero Pakistan gandingannya.

‘Memadu kasih’ dengan Arslan Asad Butt yang menghidupkan watak Fawwad dalam karya terbaru terbitan Zeel Production, Tiz teruja beraksi dengan pelakon Pakistan termasuk Anmol Baloch yang memegang watak Sajeeda.

“Saya melakonkan watak Sara dalam drama arahan Eon Shuhaimi ini. Rezeki saya dapat pegang watak utama dan berlakon dengan Arslan dan Anmol.

“Pelakon di Pakistan semuanya cantik-cantik... Aktornya juga kacak-kacak. Ibaratnya, semua orang di sini cantik-cantik.

“Bayangkan, saya baru saja berkongsi foto bersama Arslan di Instagram, sudah ramai pengikut dan kawan-kawan yang tidak sabar menunggu drama ini disiarkan... Jangan tak tahu, ada juga yang sudah tak keruan melihat wajahnya.

“Tapi jangan marah, dalam drama ini Arslan pilih saya,” katanya berseloroh.

Menjalani sebahagian daripada penggambaran di Pakistan, drama 30 episod Sara Sajeeda dijangka disiarkan dalam slot Samarinda oleh TV3, selewat-lewatnya Oktober depan.

Tiz yang mencipta populariti melalui drama Nur Kasih memberitahu, pengalaman bekerja dengan pelakon dan kru produksi juga sangat berharga buat dirinya.

“Saya teruja bekerja dengan Zeel Production. Selama ini hanya dengar nama dan menonton naskhah terbitannya,” katanya.

Bagi memudahkan penggambaran, skrip diterjemah sebagai panduan kepada Arslan, Anmol dan kru dari Pakistan.

“Kerjasama terjalin dengan baik... Biasalah, masalah bahasa pasti ada,” katanya.

Tiz berkata, Arslan dijangka diterbangkan ke ibu negara bagi menyudahkan penggambaran di sini.

“Saya juga difahamkan, pelakon Fahrin Ahmad dan Tasha Shilla akan ‘terbang’ ke Lahore untuk babak mereka,” katanya.

Berita Harian X