Khamis, 28 March 2019 | 9:00am
SELAIN berlakon, Sharifah Shahora juga aktif sebagai penerbit drama. - Foto Instagram Sharifah Shahora

'Jual bakat, bukan pengikut'

Oleh Zaidi Mohamad

[email protected]

KUALA LUMPUR: Rela dituduh konservatif, Sharifah Shahora lebih suka ‘menjual’ bakat daripada bermegah dengan jumlah pengikut di laman sosial sebagai petanda kononnya diri popular.

Shahora berkata, sejak mula berlakon pada 1996, dia hanya menggunakan bakat dan kelebihan diri untuk meraih perhatian penerbit.

Malah, pada era media sosial sekarang, Shahora tidak berlumba-lumba mencari pengikut yang ramai hanya kerana mahu mencuri perhatian.

“Saya mungkin dianggap konservatif kerana lebih suka menjual bakat dan tidak pernah menjadikan jumlah pengikut laman sosial sebagai pengukur keupayaan diri.

“Kita perlu sedar, pengikut yang ramai itu mungkin datang daripada foto seksi atau aksi meraih simpati yang dimuat naik. Ia mungkin entri yang mempunyai ciri-ciri tular, swafoto comel, rambut cantik atau ‘tempias’ daripada drama yang ‘trending’.

“Ketahuilah kadang-kadang pengikut yang sedikit itu lebih bermutu daripada ribuan atau jutaan orang. Jadi, saya selalu mengingatkan diri dan teman pelakon agar jangan sesekali pertaruhkan pengikut, sebaliknya ‘jual’ bakat dimiliki,” katanya kepada BH Online.

Shahora tidak menolak hakikat jumlah pengikut yang ramai boleh dianggap bonus atau suatu kelebihan. Namun, baginya, janganlah perkara itu akhirnya mengaburi bakat.

“Kita takut nanti pada akhirnya, tiada tawaran berlakon. Kita kena ingat, setiap hari pasti ada pelakon yang lebih baik daripada diri kita menjelma,” katanya yang mengusahakan syarikat produksi, Eleven Field Creative Sdn Bhd sejak 2008.

Duduk di kerusi penerbit, Shahora turut berdepan gelagat pelakon yang meletakkan harga berdasarkan jumlah pengikut di laman sosial.

“Kalau terus dikaburi dengan jumlah pengikut, lebih baik jangan berlakon. Ada sesetengah pelakon mengaku diri hebat, tetapi pengarah tidak kenal,” katanya.

Shahora membangkitkan kemusykilan apakah artis yang terlalu mengagung-agungkan jumlah pengikut melihat dunia lakonan seperti membuat ulasan produk di Instagram (IG).

“Sebagai penerbit, saya beritahu pengarah untuk menghargai bakat seseorang pelakon, bukan melihat jumlah pengikut mereka di laman sosial,” katanya yang menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang industri kreatif.

Ketika ini, Shahora sedang melunaskan penggambaran drama Setelah Terlafaznya Akad arahan Michael Ang. Produksi miliknya pula baru selesai menerbitkan drama 13 episod berjudul Penjejak Ifrit arahan Raja Mukhriz.

Berita Harian X