Sabtu, 30 March 2019 | 11:30am
PENYANYI nasyid, Fitri Haris, akan terus menyanyikan lagu kumpulan UNIC selagi ada permintaan untuknya berbuat demikian. - Foto Mahzir Mat Isa
PENYANYI nasyid, Fitri Haris, akan terus menyanyikan lagu kumpulan UNIC selagi ada permintaan untuknya berbuat demikian. - Foto Mahzir Mat Isa

Saya tetap nyanyi lagu UNIC - Fitri

KUALA LUMPUR: Bekas anggota UNIC, Fitri Haris, tetap dengan pendirian untuk menyanyikan lagu pernah dipopularkan oleh kumpulan nasyid berkenaan.

Tegasnya, kumpulan terbabit tidak berhak untuk menghalangnya, kecuali pencipta lagu itu sendiri melarangnya berbuat demikian.

“Saya akan terus menyanyikan lagu UNIC selagi ada permintaan berbuat begitu. Selagi nyanyian saya memberi manfaat kepada orang lain, saya takkan berhenti daripada menghulurkan sumbangan.

“Lagipun, saya sudah mendapat keizinan daripada komposer berkenaan untuk menyanyikan lagu ciptaan mereka. UNIC perlu faham kedudukan itu.

“Seandainya penyanyi lain dibenarkan menyanyikan lagu mereka, kenapa saya tidak boleh? Saya sendiri sudah melaburkan wang untuk menghasilkan empat single baharu, tetapi penganjur tetap mahukan saya menyanyikan lagu ketika bersama UNIC,” katanya.

Sebelum ini, kumpulan dianggotai oleh Fakhrul, Bazli dan Nadji itu kesal dengan tindakan juara Gema Gegar Vaganza musim kedua terbabit yang masih menyanyikan lagu mereka setiap kali menjayakan persembahan.

UNIC menyifatkan tindakan berkenaan secara tidak langsung mengganggu periuk nasi mereka yang masih aktif dalam industri muzik.

Sementara itu, Fitri mengakui, perselisihan yang berlaku turut memberi kesan terhadap dirinya sebagai penyanyi nasyid.

"Saya tahu, apabila membawa gelaran dan imej selebriti Islam, kita perlu memberi contoh yang baik. Namun, lain pula jadinya apabila pertelingkahan seperti ini timbul.

"Ia memang memberikan kesan, tetapi saya tak boleh nak menghalangnya daripada terjadi,” katanya.

Berita Harian X