Ahad, 31 March 2019 | 11:30am
PENYANYI, Kanda Khairul, turut menyimpan impian bergelar penyampai radio. - Foto Aziah Azmee
PENYANYI, Kanda Khairul, turut menyimpan impian bergelar penyampai radio. - Foto Aziah Azmee

Kanda Khairul tak lupa pengalaman jadi gelandangan

KUALA LUMPUR: Saat lagu dendangannya, Atiqah Songket, mendapat perhatian ramai, Kanda Khairul takkan sekali-kali melupakan pengalaman menjadi gelandangan sewaktu mula berhijrah ke ibu kota.

Kata bakat baharu berasal dari Kedah itu, peristiwa menyedihkan berkenaan kini menjadi penawar dan pembakar semangat buat dirinya dalam menghadapi cabaran serta kesukaran di bidang seni.

“Saya masih ingat ketika mula-mula menjejakkan kaki ke ibu kota, lebih sedekad lalu. Saya bukan sahaja tiada saudara-mara di sini, malah tak ada satu sen pun dalam saku.

“Namun, dek keinginan untuk mencari kehidupan lebih baik, saya beranikan diri untuk mengharungi kehidupan di kota besar walaupun terpaksa tidur di kaki lima, mengemis dan melakukan pelbagai kerja.

“Saya tak boleh mengeluh kerana asalkan rezeki yang diperoleh itu halal, ia sudah cukup menggembirakan,” kata lelaki berusia 33 tahun ini yang turut bergelar ahli perniagaan.

Menurutnya, apabila memutuskan untuk menceburkan diri dalam seni, tidak kurang teman yang memberikan pelbagai peringatan.

“Ada yang mahu saya berhati-hati kerana mereka bimbang saya akan tertipu lagi, seperti pernah dialami sebelum ini.

“Jujurnya, saya melangkah ke bidang ini kerana ingin merealisasikan impian sejak sekian lama. Walaupun baru sekarang ia tercapai, saya tidak kisah.

“Dalam soal pendapatan yang tidak menentu dan kemungkinan menjadi mangsa ‘kapur’ penganjur persembahan, rasanya saya sudah bersedia. Saya pernah hidup susah sebelum ini, jadi ia bukan masalah besar,” katanya.

Mengenai lagu Atiqah Songket ciptaan Harry Khalifah, Khairul bersyukur apabila karya bersifat humor itu mendapat sambutan ramai.

Sejak video muziknya dikongsi pada penghujung tahun lalu, tontonan Atiqah Songket kini menghampiri angka 2 juta.

“Selepas ini saya akan muncul pula dengan single berjudul Sarah Dedon, yang juga kesinambungan lagu pertama. Ia hasil ciptaan spontan saya bersama Harry ketika kami dalam perjalanan ke Perak. Lagu ini juga sebuah karya berbentuk komedi.

“Namun, saya turut mempunyai perancangan untuk muncul dengan lagu serius, selepas ini. Lagu itu nanti berentak balada dengan liriknya adalah berdasarkan pengalaman pahit pernah saya lalui sebelum menjadi artis rakaman,” katanya.

Selain nyanyian, Khairul juga mengasah bakatnya dalam lakonan, malah turut menyimpan keinginan bergelar penyampai radio.

Berita Harian X