Isnin, 1 April 2019 | 6:40pm
NAZIM gembira dengan perkahwinan Bella, malah yakin wanita itu sudah bertemu jodoh yang terbaik. Foto: Nik Hariff Hassan

Nazim doa kebahagiaan Bella, Arif

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nazim Othman, 35, gembira dengan perkahwinan bekas isterinya, Bella Dally, semalam, malah sentiasa mendoakan kebahagiaan wanita itu.

Mengakui pernah bertemu Bella dan suaminya, Arif Izuddin Mohd Radzali sebelum pasangan itu diijabkabulkan, Nazim berkata, dia dapat merasai keserasian antara mereka.

“Saya gembira dengan perkahwinan Bella. Malah, ketika Bella memaklumkan mahu mendirikan rumah tangga, saya percaya dia sudah bertemu dengan jodoh yang terbaik.

“Kami sempat bertemu sebelum ini dan Arif sangat positif, meskipun tahu saya dan Bella pernah hidup bersama. Saya dapat rasakan Arif mampu memberikan kebahagiaan buat Bella,” katanya.

Nazim berkata, Bella secara bergurau ada mengundang dia menghadiri majlis resepsinya yang berlangsung di BoraOmbak Marina Putrajaya, malam tadi.

“Sekalipun dijemput, saya tidak akan pergi kerana rasanya tidak manis berbuat demikian. Memang kami tiada masalah, malah hubungan saya dengan keluarga bekas mentua juga masih baik, tetapi saya perlu menjaga hati banyak pihak.

“Saya doakan ikatan perkahwinan Bella dan Arif berkekalan hingga ke syurga. Mungkin saya tidak menulis sebarang ucapan di media sosial, tetapi Bella tahu saya sentiasa mendoakan kebahagiaannya,” katanya.

Terdahulu, Nazim dan Bella mendirikan rumah tangga pada 10 September 2016, namun berpisah pada 2 Mei lalu.

Ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya, Cerita Kita, di sini, Nazim menafikan lagu ciptaan Omar K dan Audi Mok itu mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadinya.

“Lagu ini tiada kena mengena dengan sesiapa kerana ia sudah lama disiapkan. Bella masih bersama saya ketika itu, malah dia turut memuji sebaik mendengar lagu ini.

“Saya tidak kisah apa juga persepsi orang terhadap lagu ini. Saya langsung tidak mengubah setiap bait lirik yang ditulis dan berharap usaha saya ini akan diterima peminat,” katanya.

Berita Harian X