Selasa, 2 April 2019 | 5:13pm
ZARYNN akur nama belum terlalu menyerlah biarpun sudah lebih 17 tahun dalam industri hiburan. Foto IG Zarynn Min

Eksklusif: Siri Satu Bakat Terpinggir: Antara Tuah dan Survival

Berbakat, cantik dan bersih daripada kontroversi, namun entah di mana silapnya, perjalanan kerjaya seni mereka tidak sehebat nama lain.

Bertahun mengumpul pengalaman, tuah masih belum menyebelahi mereka untuk mendaki di puncak. Mereka juga sukar meraih peluang besar, meskipun bakat mereka diakui penerbit dan pengarah.

Pelakon Zarynn Min antara insan seni yang tergolong dalam kelompok itu. Sudah 17 tahun mencipta nama, Zarynn akur, kerdipan bakatnya tidak terlalu menyerlah.

“Pada usia 39 tahun, saya bernasib baik kerana tawaran masih ada. Mungkin bukan untuk watak utama, tetapi saya tetap mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah.

“Dari sudut bayaran, Alhamdulillah tidak terlalu tinggi, tetapi tidak juga terlalu rendah. Ia bersesuaian dengan pengalaman kerana saya akur, nama saya tidak terlalu popular.

“Saya tidak boleh terlalu meminta kerana di luar sana, persaingan sangat besar. Saya hanya mempertaruhkan bakat dan disiplin.

“Jika diukur jumlah pengikut di laman sosial, saya jauh ketinggalan berbanding bakat baharu. Saya akur jika terlepas peluang bawa watak utama kerana nama saya tidak mampu menarik penonton,” katanya.

ZARYNN bersyukur masih menjadi pilihan penerbit untuk menjayakan pelbagai drama. Foto IG

Ukur baju di badan sendiri

Zaryn atau nama sebenarnya, Noraszarinawati Tumin berkata, dia sentiasa mengukur baju di badan sendiri.

Meskipun pernah membintangi drama yang mendapat jumlah tontonan yang tinggi, Zaryn tidak berasakan, dirinya popular.

“Saya faham jika stesen televisyen atau penerbit memilih pelakon yang mempunyai jumlah pengikut yang tinggi untuk menaikkan rating sesebuah naskhah.

“Ketika saya mula bertapak, kami hanya mempertaruhkan bakat, memandangkan pada masa itu, belum ada media sosial. Sesekali, apabila drama lakonan saya meledak, contohnya Kan Ku Kejar Cintamu yang diterajui Fendy Bakry dan Amyra Rosli, baru-baru ini, saya turut mendapat tempias apabila jumlah pengikut bertambah,” katanya.

Zarynn berkata, istilah putus asa tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Meskipun ada segelintir pelakon seangkatan yang kecewa, malah hampir mengalah apabila tidak mendapat peluang, Zarynn sebaliknya, sentiasa positif.

“Saya selalu mengingatkan diri, kalau bukan rezeki saya hari ini, mungkin hari lain saya akan mendapatnya. Mungkin nanti akan datang tawaran yang lebih baik.

“Meskipun pahit jalan yang saya lalui, biarlah saya telan sendiri. Saya tidak mahu membiarkan diri terbeban dengan perasaan tidak puas hati,” katanya.

Jaga disiplin, mutu kerja

Ditanya sampai bila mahu terus selesa begitu, Zarynn berkata, dia tidak berani mengharap lebih. Namun, sebagai pelakon senior, Zarynn juga ingin melihat bakat diangkat pada tahap lebih baik.

“Tetapi, saya perlu berpijak di bumi nyata. Tidak mengapa kalau tidak popular. Alhamdulillah, mungkin tidak ramai, tetapi ada yang juga kenal dan sedar kehadiran saya dalam industri hiburan.

“Saya cuma mampu memberikan contoh yang baik seperti menepati waktu, menjaga disiplin dan mempamerkan mutu persembahan terbaik. Itu sudah memadai,” katanya yang pernah empat kali menerima pencalonan dalam majlis anugerah, termasuk Asia TV Awards 2011 bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Mimi mengaku membuat pelbagai jenis pekerjaan untuk mencari rezeki termasuk menjual laksa dan teh ais cincau. Foto NSTP Khairul Azhar Ahmad

Mimi mahu bersaing secara sihat

Sementara itu, pelakon kelahiran Kedah, Mimi Ernida yang memulakan langkah selepas menyertai program realiti, Gadis Melayu pada 2010 turut berdepan cabaran tersendiri untuk memperkenalkan nama.

Meskipun pernah beraksi dalam filem pecah panggung, Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar, naskhah itu bagaimanapun, belum mampu melonjakkan popularitinya.

Hampir sembilan tahun bergelut, Mimie atau nama lengkapnya, Nor Shamimi Ernida Mansori berkata, dia sudah lali dengan permainan dunia seni.

“Ada yang berbakat, tetapi rupa kurang menyebabkan mereka tidak dipandang. Ada yang memiliki pakej lengkap, tetapi tetap tidak mendapat peluang.

“Sukar untuk saya jelaskan, tetapi tidak dinafikan, ada segelintir penggiat industri yang mengamalkan pilih kasih. Saya tidak cemburu apabila ada yang sanggup ‘melabur’ untuk mendapat peluang.

“Mungkin mereka mendapat keistimewaan, tetapi cara itu langsung tidak menampakkan persaingan sihat. Jika mahu bersaing, buktikan dengan bakat dan kemampuan,” katanya.

MENCINTAIMU Mr Photographer antara drama yang menyerlahkan bakat Mimi Ernida. Foto IG Mimi Ernida

Sembilan bulan tiada tawaran

Mimie berkata, dia pernah diuji apabila hampir sembilan bulan tiada tawaran berlakon hingga terpaksa mencari rezeki lain.

“Saya pernah balik kampung menjual minuman. Saya tidak boleh malu untuk mencari duit. Ketika berniaga, ada juga peminat yang kenal dan ajak bergambar.

“Apabila kembali ke ibu negara, saya ambil pula tempahan menjual laksa. Penatnya hanya Tuhan yang tahu. Ketika itu, saya sudah tidak fikir apa-apa kerana saya hanya mahu mencari rezeki,” katanya.

Mimie berkata, dia bersyukur apabila kembali menerima tawaran September lalu. Namun, dia tetap meneruskan perniagaan kerana enggan tersalah langkah lagi.

“Selepas diuji tiada tawaran berlakon, saya selalu mencari di mana kekurangan diri. Kesusahan itu juga menjadi ruang untuk saya bermuhasabah diri.

“Apabila kembali mendapat peluang, saya bersyukur, meskipun hanya ditawarkan watak pembantu. Saya akur, persaingan semakin besar, terutama dengan kebanjiran ramai pelakon baharu.

“Mungkin bakat saya belum begitu hebat untuk terus mendapat peluang watak utama. Namun, sebagai pelakon, apabila diberikan amanah, sama ada utama atau pembantu, saya cuba lunaskan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Berita Harian X