Selasa, 2 April 2019 | 6:16pm
SHAKILLA masih berusaha mendapatkan semula berat badan ideal selepas bersalin anak sulung pada 14 Mac lalu. Foto IG Shakilla Khoriri

Tipu jika tak tertekan untuk kembali kurus - Shakilla Khoriri

KUALA LUMPUR: Pelakon Shakilla Khoriri mengakui, masih berperang dengan perasaan untuk mendapatkan berat badan asalnya selepas melahirkan anak sulung, Ameena Sofia pada 14 Mac lalu.

Shakilla dalam satu hantaran menerusi Instagram mengakui, bersedih kerana berat badannya masih bertahan pada 63 kilogram (kg), biarpun sudah hampir sebulan melahirkan anak.

“Tetapi, kesedihan itu hilang apabila menatap wajah anak. Lupa seketika masalah badan yang masih berisi ini. Tak sabar rasanya mahu habiskan pantang untuk bersenam.

“Tipu jika saya tidak tertekan kerana ketika masih gadis, berat saya 49kg. Apabila hamil, ia naik 73kg dan turun 63kg selepas bersalin. Tetapi, saya okay biarpun tidak sepenuhnya,” katanya.

Menerusi hantaran yang sama, Shakilla mengakui, sukar untuk dia mendapatkan semula bentuk tubuhnya seperti ketika zaman gadis.

“Saya ada minta suami, Fizi Ali mengambil gambar bersama Ameena sebagai kenang-kenangan ketika saya membesarkannya dalam keadaan badan yang ‘rosak’ sana sini.

“Tandanya akan sentiasa ada pada tubuh wanita yang menjadi ibu, walaupun kita membuat rawatan. Saya harap ada ibu yang dapat berkongsi bagaimana menurunkan berat badan selepas bersalin, tetapi bukan menggunakan produk kurus,” katanya.

Luahan Shakilla itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengikutnya, malah ramai menitipkan nasihat supaya dia bertenang dan melalui proses berpantang tanpa tekanan.

Pelakon Ozlynn Wati turut meninggalkan komen dan meminta Shakilla supaya tidak terlalu memberi fokus untuk kurus. Ozlynn berkata, sekiranya Shakilla mahu menyusukan anak, dia perlu mengamalkan pemakanan yang sihat.

“Kalau mahu menyusukan anak sepenuhnya, tidak perlu berfikir mengenai kurus. Cuma, amalkan pemakanan yang sihat dalam kuantiti mencukupi.

“Kasihan bayi nanti jika susu ibu tidak cukup. Fikirkan anak dulu. Hanya selepas anak mula makan, baru fikir soal kurus. Jaga pantang sebaiknya dan betulkan cara pemakanan,” nasihatnya.

Shakilla dan Fizi mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018.

Berita Harian X