Rabu, 3 April 2019 | 9:00am
Fazley mengawal pengambilan gula dan karbohidrat dalam makanan untuk mengekalkan berat badan serta menjaga kesihatan. Foto NSTP Owee Ah Chun
Fazley mengawal pengambilan gula dan karbohidrat dalam makanan untuk mengekalkan berat badan serta menjaga kesihatan. Foto NSTP Owee Ah Chun

Fazley 'kenyang' tengok pelanggan makan

KUALA LUMPUR: Sekalipun berdepan juadah enak saban hari, cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob masih mampu mengawal nafsu makan dengan menjaga pengambilan gula dan karbohidrat.

Akui Fazley, dia menjaga pemakanan termasuk mengawasi diet isterinya, Datin Azrene Ahmad sehingga hilang 43 kilogram.

“Melihat rakan-rakan memiliki perut boroi, saya tidak mahu berdepan situasi sama.

“Saya sudah pandai mengawal pemakanan tetapi tidak mengetepikan aspek kesihatan. Malah, saya masih mengambil makanan segera, cuma kuantitinya terkawal,” katanya kepada BH Online.

Fazley berkata, dia berjaya mengurangkan kira-kira 40 peratus lemak dan gula dalam masakan atas tujuan kesihatan.

“Saya mendidik orang ramai melalui pengambilan makanan, bukannya senaman. Ini kerana saya tahu, tidak ramai orang ada masa untuk beriadah,” katanya.

Fazley mengaku ‘kenyang’ melihat orang ramai terutama pengunjung di restoran yang diusahakan, berpuas hati dengan hidangan yang disaji.

“Seperkara lagi, orang yang sudah penat memasak lazimnya tidak ada selera untuk menikmati juadah yang disediakan,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Fazley bekerjasama dengan Hotel Four Seasons yang melantiknya sebagai cef selebriti undangan sepanjang Ramadan mulai 6 Mei depan.

“Saya menggunakan sebaik mungkin peluang ini untuk menyediakan juadah istimewa sempena bulan mulia.

“Sudah pasti, aspek kesegaran dalam setiap masakan diutamakan.

“Biarpun mengendalikan beberapa restoran dan cawangan hotel, namun saya sudah melatih kakitangan selama dua bulan sebelum memberi kepercayaan kepada mereka untuk menguruskan dapur tanpa kehadiran saya,” katanya.

Berita Harian X