Rabu, 3 April 2019 | 6:23pm
SHAHRULEZAD cabar penerbit supaya lebih kreatif cipta karakter untuk serlahkan bakat pelakon. Foto Ihsan Radius One Sdn Bhd

Eksklusif: Siri Akhir Bakat Terpinggir - Antara Tuah Dan Survival

Bakat sahaja tidak memadai untuk menjanjikan insan seni terus bertahan. Biarpun cuba mengimbangi antara bakat dan populariti, faktor sampingan lain, termasuk penerimaan penonton membuatkan perjalanan segelintir penggiat seni berkarisma umpama melukut di tepi gantang.

Hanya segelintir yang masih tegar berjuang dengan cara tersendiri, selebihnya akur mencari peluang lain untuk meneruskan hidup.

Sebagai individu yang dilihat mempunyai ‘kuasa’ dalam menentukan barisan pelakon, pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin cuba mengimbangi perkara itu dengan memberi peluang kepada pelakon berbakat, namun kurang nilai komersial.

Dia yang juga pemilik syarikat produksi, Radius One Sdn Bhd bagaimanapun, ada ketika terpaksa akur dengan peralihan dalam industri hiburan semasa.

“Memang dulu saya tegas dengan pendirian, peluang perlu diberi sama rata kepada semua pelakon, tidak kira nama popular atau kurang komersial. Apa yang penting, mereka berbakat besar.

“Penerbitan drama bagaimanapun, adalah cabang perniagaan dan saya perlu akur dengan senario semasa. Suka atau tidak, saya perlu penuhi permintaan penonton yang lebih terarah kepada pelakon popular dan ada nilai komersial.

“Pembeli mahukan produk berkualiti, namun kebanyakan kita sering menilai kualiti berdasarkan aspek luaran. Contohnya, jika mahu menonton filem Hindi atau Korea Selatan, perkara utama yang dilihat adalah barisan pelakon.

“Kenyataan itu tidak mampu kita elak. Pemilihan pelakon turut memainkan peranan penting dalam menentukan jumlah tontonan. Untuk menjual cerita, terutama pada permulaan drama bersiri, sukar untuk memikat jika barisan pelakon kurang nilai komersial,” katanya.

Imbangi bakat, populariti

Pengarah drama Nur itu bagaimanapun, mengakui pernah bereksperimen dengan mempertaruhkan pelakon berbakat, namun kurang popular di mata peminat.

“Susah untuk meraih rating tinggi dan saya terpaksa menelan kenyataan itu, biarpun pahit. Sebagai penerbit dan pengarah, kita akan meletakkan mereka yang berbakat, pada masa sama popular dan diterima peminat.

“Kami sangat menitikberatkan perkara itu kerana jika mengharapkan rupa, tetapi tiada bakat, susah juga kerana penonton mahukan produksi yang lengkap dari segala sudut,” katanya.

Namun, untuk memastikan pelakon berbakat, namun kurang komersial ini tidak terpinggir, Shahrulezad berkata, dia mewujudkan watak pembantu yang kuat dan mampu memberi saingan kepada karakter utama.

“Ada ketika, watak pembantu ini lebih menonjol berbanding karakter utama. Itu antara cara saya bantu pelakon yang sebelum ini agak terpinggir supaya menyerlah di mata penonton.

“Sebagai contoh, drama Nur apabila watak Ustaz Hamadi lakonan Azhan Rani dan Aishah (Noorkhiriah) setara dengan teraju utama,” katanya.

Karakter cabar kemampuan

Tambahnya lagi, industri hiburan tempatan tidak sama seperti di luar apabila bakat baharu terpaksa menjalani proses persediaan yang ketat sebelum diketengahkan kepada khalayak.

“Mereka akan dilatih dari pelbagai sudut, malah ada yang terpaksa menjalani pembedahan plastik sebelum mendapat lampu hijau untuk melangkah industri hiburan.

“Jika mahu diterapkan di sini, ia mungkin tidak bersesuaian dengan budaya dan agama. Lumrah setiap manusia mahukan yang lengkap dari setiap sudut.

“Namun, jika tidak diberi peluang, bagaimana mereka yang berbakat, namun kurang komersial ini mahu menyerlah? Itu masalah kita, namun diskriminasi ada di mana-mana,” katanya.

Percaya setiap permasalahan pasti mempunyai jalan penyelesaian, Shahrulezad mencabar penerbit dan pengarah supaya berani mencipta karakter hebat untuk menonjolkan bakat pelakon terpinggir ini di mata peminat.

“Jangan beri watak biasa, sebaliknya cabar mereka dengan karakter yang menguji supaya penonton dapat melihat kekuatan pelakon terbabit.

“Selepas beberapa kali mencuba, saya dapat melihat impaknya apabila penonton mula menyedari bakat pelakon yang sebelum ini agak terpinggir,” katanya.


NANA tidak gentar mencuba bidang baharu meskipun bermula sebagai penyanyi. Foto Rohanis Shukri

Jangan takut teroka bidang baharu

Sementara itu, Nana Mahazan yang mencipta nama menerusi program realiti Akademi Fantasia musim pertama, mengakui dia pernah hampir menyerah kalah apabila bakatnya terpinggir dalam kehangatan kemunculan bakat baharu.

Popularitinya juga perlahan-lahan suram, terutama apabila nekad memberikan fokus terhadap rumah tangga selepas melahirkan anak sulung, Althea Raqeem Brian.

Selepas anak keduanya, Aaqib membesar, Nana terfikir untuk kembali aktif. Fokus utamanya ketika itu, bukan lagi mengejar populariti, sebaliknya Nana hanya ingin meneruskan minat yang masih kukuh dalam diri.

“Jika kita rasa bidang yang dicuba itu tidak sesuai dengan diri, segera cari ruang untuk teroka bidang lain. Saya bermula di pentas yang mencungkil bakat penyanyi, namun rezeki saya lebih terbuka dalam bidang pengacaraan.

“Persaingan ada di mana-mana, jangan cepat mengalah. Biarpun ada kalanya kita tewas, jangan takut untuk segera bangkit sebelum terlewat,” katanya.


ZARINA utama bakat dan disiplin sebagai formula untuk terus bertahan. Foto: NSTP

Susun strategi untuk bertahan

Selepas lebih 13 tahun meninggalkan pentas AF, Zarina Zainoordin mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan peluang sentiasa menyebelahinya.

Zarina berkata, dia banyak bekerjasama dengan syarikat produksi yang sedia menerima pelakon kurang komersial, sebaliknya lebih mengutamakan bakat dan disiplin.

“Tidak semua produksi bergantung kepada pelakon yang mempunyai nilai komersial, ada juga yang melihat disiplin dan kekuatan bakat.

“Itu yang sering saya praktikkan kerana saya akur, jika tidak menjaga kualiti kerja, bila-bila masa bakat kita akan dilupakan.

“Pasang surut kehidupan itu lumrah, tetapi jangan putus asa. Ambil peluang yang ada depan mata. Mereka yang percaya bakat, pasti akan menghargai,” katanya.

Pada usia pembabitannya, Zarina berkata, dia tidak kisah jika ditawarkan watak pembantu.

“Tidak kisah watak utama atau sampingan, saya sedia berlakon. Dulu, saya beriya-iya mencari watak yang banyak menggunakan tenaga dalaman untuk menyerlahkan bakat.

“Penat sebenarnya, tetapi sekarang, saya mula terbuka. Jika diberikan watak antagonis, saya lagi suka,” katanya.

Berita Harian X