Ahad, 7 April 2019 | 9:08am
Penampilan Fattah dan Fazura sebagai penyampai trofi di FFM30 di ibu negara, baru-baru ini mencetuskan kontroversi. Fazura didakwa meletakkan syarat dia hendaklah diiringi suami naik ke pentas. - Foto IG FFM30

Isu FFM30: Fazura minta Hans dedah butiran mesej

KUALA LUMPUR : "Kongsikanlah kepada umum butiran mesej melalui WhatsApp yang dikatakan bersifat 'friendly' (mesra) itu."

Dalam reaksi terbaru berhubung kontroversi 'menyelit' suami sebagai penyampai trofi di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-30, Nur Fazura meminta pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac mendedahkan kepada umum kandungan Whatsapp yang didakwa menuduh dirinya bersikap tidak profesional pada acara berprestij itu.

Sekali lagi menjelaskan dirinya mematuhi permintaan produksi untuk tampil bersama Fattah Amin ketika menyampaikan trofi Anugerah Khas Juri, Fazura berkata, biarlah masyarakat menilai kandungan mesej Hans itu.

"Apabila saya menerima mesej daripada Hans, saya merujuknya kepada pihak pengurusan, Universal Music. Mesej yang dihantar Hans, menuduh saya tidak bersikap profesional kerana mengenakan syarat meminta Fattah untuk naik bersama ke pentas.

"Sekali lagi, saya sekadar memenuhi permintaan pihak produksi, iaitu Astro. Saya hanya menjalankan tugas sebagai penyampai trofi dengan mengikut arahan yang diberi demi kelancaran majlis.

"Sehubungan itu, saya mengalu-alukan Hans untuk berkongsi mesej yang ditujukan buat 'kawan' itu supaya orang ramai dapat membuat penilaian sendiri berhubung isu ini," katanya.

Empat hari lalu, melalui perkongsian Instagram, Hans menjelaskan mesej yang diberikan kepada Fazura berhubung isu FFM30 itu adalah perbualan antara dua rakan industri, selain meminta isu berkenaan tidak diperbesarkan lagi.

Sebelum ini, Fazura menyangkal dakwaan konon penampilannya dan Fattah sebagai penyampai trofi pada FFM30 adalah atas permintaan peribadi, selain menjadi syarat yang perlu dipenuhi penganjur.

Fazura yang tampil dengan Fattah menyampaikan trofi kategori Anugerah Khas Juri menjelaskan, dia dan suami masing-masing mendapat undangan rasmi sebagai penyampai trofi.

Tambah Fazura, mengikut perancangan dan komunikasi dengan pihak terbabit, mereka tampil dalam slot berasingan.

Namun, dakwa Fazura, ketika menunggu giliran di belakang pentas, mereka didatangi dua petugas produksi yang meminta dia dan Fattah untuk bersama-sama naik ke pentas menyerahkan trofi.

Dalam kekalutan itu, Fazura menambah, dia dan Fattah sempat berlatih skrip, biarpun dimaklumkan pada saat-saat akhir. Fazura mendakwa, mereka diberitahu kehadiran Fattah bersamanya adalah elemen kejutan untuk acara itu.

Berita Harian X