Ahad, 7 April 2019 | 11:00pm

Syafie, Aishah nikah tahun ini

KUALA LUMPUR: Selepas lebih setahun bercinta, pelakon Syafie Naswip dan Aishah Azman mengikat tali pertunangan disaksikan kira-kira 200 anggota keluarga dan teman rapat di sebuah premis acara di sini, sebentar tadi.

Bersyukur majlis pertunangan lancar, Syafie memberitahu, dia dan Aishah merancang diijabkabulkan tahun ini.

“Keluarga kami bagaimanapun belum memilih tarikh nikah berikutan masih ada beberapa urusan perlu diselesaikan.

“Kami akan berkahwin tahun ini, cuma tarikh belum ditetapkan,” katanya kepada BH Online.

Pada majlis itu, ibu Syafie, Noorsiah Ahmad menyarung cincin pertunangan di jari manis Aishah.

Berkonsepkan majlis dalam taman, Aishah tampak anggun mengenakan busana biru muda rekaan Zamrimatouch.

Pada majlis itu, Syafie menyerahkan lima dulang hantaran dan berbalas lima dulang daripada keluarga Aishah.

Aishah berkata, dia terpikat dengan Syafie selepas melihat tunangnya itu memiliki sifat penyayang dan menghargai insan di sekeliling.

“Bukanlah seperti cinta pandang pertama. Sebaliknya, saya lihat cara Syafie melayan insan di sekeliling... Dia sangat menghormati orang lain.

“Selain itu, Syafie juga penyabar dan pandai mengambil hati orang,” katanya.

Antara rakan selebriti yang hadir pada majlis itu adalah Amelia Henderson, Jasmine Suraya Chin, Sweet Qismina, Syazuan Hassan, Aedy Ashraf, Adam Lee dan Fimie Don.

SYAFIE dan Aishah selamat bertunang dan merancang bernikah tahun ini. - Foto Rohanis Shukri
Berita Harian X