Rabu, 10 April 2019 | 8:27am
Sheera belum bersedia berkongsi kisah rumah tangganya yang dikatakan bermasalah. - Foto IG Sheera Iskandar

'Sampai masanya saya cerita'

KUALA LUMPUR : "Kami masih suami isteri dan tinggal sebumbung."

Itu penjelasan pelakon Sheera Iskandar mengenai spekulasi konon rumah tangganya dengan suami, Doul Harun, bergolak.

Terkejut diajukan pertanyaan itu, Sheera meminta ibunya, Aznah Hamid menemaninya untuk mengulas khabar angin itu ketika ditemui di sebuah majlis di sini, malam tadi.

Mengambil masa untuk menyusun kata, Sheera menjelaskan dia perlu berhati-hati kerana enggan kisah rumah tangganya menjadi topik bualan.

"Apa yang boleh saya katakan adalah kami masih mengenali hati budi masing-masing. Biarpun sudah berkahwin empat tahun, tempoh itu belum cukup lagi.

"Benarlah kata orang, bila tinggal sebumbung ini masih banyak yang dipelajari mengenai pasangan.

“Kami masih berkomunikasi seperti selalu, cuma biasalah rumah tangga ada pasang surutnya. Apabila tiba masanya kelak, pasti saya akan kongsi bersama umum. Buat masa ini saya tidak mahu membuat kenyataan," katanya kepada BH Online.

Sheera berkata, sebarang masalah atau kemelut, akan cuba diselesaikannya.

"Apa yang pasti, ia tidak membabitkan orang ketiga atau anak. Insya-Allah semuanya akan dikongsikan apabila tiba masanya nanti," katanya.

Baru-baru, sisipan hiburan BH, B*POP melaporkan gosip rumah tangga Sheera dan Doul yang dikatakan berantakan. Ketika itu, Sheera mengunci mulut mengenai spekulasi yang timbul.

Sheera atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar mendirikan rumah tangga dengan Doul yang juga cef, pada Ogos 2015.

Berita Harian X