Khamis, 11 April 2019 | 10:50pm
DATUK Gerald Hans Isaac. - Foto BERNAMA

FINAS bakal perkenal KWSP dan PERKESO untuk penggiat seni

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dijangka memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lama lagi bagi melindungi kebajikan penggiat seni bebas.

Pengerusinya, Datuk Gerald Hans Isaac, berkata berkata skim terbabit bukan saja bakal menjamin masa depan pelakon, tetapi juga kru produksi termasuklah juru solek, ‘runner’, pemandu serta penjaga busana yang bekerja siang malam.

“FINAS sudah ada kertas kerjanya...perbincangan untuk mekanisme pelaksanaan caruman akan dibuat bersama kedua-dua badan berkenaan. Syarat dan kaedahnya akan diberikan oleh mereka bagi mengguna pakai sistem itu dalam industri seni.

“FINAS juga akan bertemu dengan pihak pengurusan stesen televisyen dan syarikat produksi yang karyawan bebas ini bekerja.

“Ada banyak proses yang perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan itu dapat dijayakan,” katanya kepada pemberita sempena hari pertamanya memasuki pejabat, di FINAS hari ini.

Hans Isaac berkata sudah tiba masanya untuk industri seni diiktiraf sebagai industri profesional dan dengan adanya kedua-dua skim itu nanti, pengiktirafan berkaitan akan dapat dizahirkan.

Katanya, pengenalan skim itu adalah satu daripada 15 manifesto yang dirangka oleh beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS Ahmad Idham Ahmad Nadzri, yang baru sebulan memegang jawatan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan 14 lagi manifesto, dengan berkata, “Saya tidak mahu hanya berjanji, saya mahu jayakan sesuatu pelan itu dulu, pastikan ia dilaksanakan dan apabila dapat keputusannya nanti, baru saya umumkan.”

Dalam pada itu, Hans Isaac memberi jaminan beliau tidak akan bersikap berat sebelah dan memihak kepada kroni atau rakan-rakannya dalam memberikan sebarang dana atau geran daripada FINAS untuk produksi filem dan televisyen.

“Sekiranya sesuatu permohonan itu membabitkan konflik kepentingan, saya akan tinggalkan mesyuarat dan biarkan lembaga pengarah yang membuat keputusan. Jika mereka mendapat geran daripada FINAS berdasarkan merit, tiada siapa boleh persoalkan,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang ragu-ragu atau sangsi dengan pelantikan beliau dan Ahmad Idham, supaya memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan hasil kerja.

“Bagaimanapun, saya menerima maklum balas yang positif, hebat dan mengagumkan daripada pemain industri berhubung pelantikan saya sebagai pengerusi,” katanya.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelakon, pengarah dan penerbit itu dilantik sebagai pengerusi FINAS bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa Isnin lalu bagi menggantikan Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas Pemangku Pengerusi sejak lebih empat bulan lalu. - BERNAMA

Berita Harian X