Ahad, 14 April 2019 | 6:51pm
Rozita menjelaskan kritikan ‘vokal tercekik sudu’ sekadar usikan buat temannya, Ezuwan yang kini berjinak-jinak dalam bidang seni suara. Foto NSTP Salhani Ibrahim
Rozita menjelaskan kritikan ‘vokal tercekik sudu’ sekadar usikan buat temannya, Ezuwan yang kini berjinak-jinak dalam bidang seni suara. Foto NSTP Salhani Ibrahim

'Istilah vokal 'tercekik sudu' sekadar usikan'

KUALA LUMPUR: “Mana ada kami gaduh, jauh sekali hendak melancarkan perang dingin.”

Itu penjelasan Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta ketika mengulas gosip konon dia dan pereka fesyen, Ezuwan Ismail yang ketika ini berjinak-jinak menjadi penyanyi, bergaduh.

Rozita kesal ada pihak melemparkan tohmahan konon dia membuat serangan peribadi terhadap Ezuwan.

“Ada pihak anggap semua itu gimik. Ada yang pantas tuduh saya buat serangan peribadi kepada Ezuwan.

“Sebenarnya, tidak ada sekelumit rasa begitu. Sebagai kawan, saya fikir perlu ‘carut’ (kritik) begitu.

“Dulu dia pernah ‘carut’ artis berangan hendak jadi pereka fesyen dengan mengeluarkan koleksi jenama sendiri. Komen seperti itu saya tidak berapa suka.

“Jadi, takkanlah dia terasa dengan ‘carutan manja’ begitu? Saya sengaja perli dia. Niat saya tak perlulah kita mengata orang lain kerana dalam hidup ini, berbalik kepada soal mencuba dan mencuri peluang di hadapan mata,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, dalam perkongsian di Instagram (IG) Story, Rozita menempelak seorang pereka fesyen yang mencuba nasib sebagai penyanyi dengan komen ‘suara tercekik sudu’.

Netizen menyangka individu dimaksudkan Rozita adalah Ezuwan yang menubuhkan trio E1 sejak Februari lalu.

Rozita bagaimanapun yakin Ezuwan tahu kritikan itu sebenarnya usikan.

“Ungkapan ‘tercekik sudu’ sekadar usikan. Saya pasti dia (Ezuwan) tahu saya hanya mengusik atau cakap lepas... Tiada niat apa-apa pun.

“Mereka yang kenal saya tahu diri ini suka melawak. Cuma tak pernah terfikir hendak masuk program realiti lawak sahaja,” selorohnya.

Rozita ditemui pada pertunjukan Koleksi Raya 2019 menampilkan rekaan Ezuwan. Terbukti, kehadiran Rozita pada majlis itu menunjukkan hubungan antara mereka baik.

Pada acara itu, trio E1 yang turut dianggotai Zulyasrani dan Ariff Imran, melancarkan single Aidilfitri berjudul Rindu Lebaran.

Berita Harian X