Isnin, 15 April 2019 | 10:54am

Jason Mraz bakal 'gegar' KL

KUALA LUMPUR: Peminat tegar Jason Mraz pasti teruja kerana penyanyi ini akan bertandang ke Malaysia untuk menjayakan konsert jelajahnya, Good Vibes di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, mulai jam 8.30 malam, pada 13 Mei depan.

Siri jelajah Good Vibes dilancarkan di Amerika Utara pada musim panas lalu. Kini ia diteruskan ke Asia merangkumi Manila, Singapura, Malaysia, Shanghai, Hong Kong, Bangkok dan Taipei, sepanjang bulan depan.

Mraz teruja untuk kembali, berhubung dan merasai semula semangat yang diberi peminat di Asia. Bagi penyanyi ini, setiap set di rantau ini menjadi terasa seperti acara terbilang, bukan persembahan biasa.

Pelantun lagu hit seperti I’m Yours dan Lucky ini turut menyifatkan perasaan membuat persembahan di Asia tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ini baginya jauh berbeza daripada mana-mana tempat lain di dunia.

“Saya dapat rasakan setiap kali di sini, peminat amat menghargai persembahan saya. Penyertaan penonton di Asia sungguh harmoni dan supersonik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mraz pernah datang ke Malaysia pada 2009 dan kembali dengan siri jelajah Tour Is A Four Letter Word pada 2012. Konsert bulan depan adalah persembahan ketiga Mraz di negara ini.

Mraz mula menikmati kejayaan arus perdana pada 2002 dengan album sulungnya, Waiting For My Rocket To Come.

Pengumuman siri jelajah Good Vibes ini dibuat untuk menyokong promosi album keenamnya yang berjudul Know pada 10 Ogos 2018. Ini adalah album kelima Mraz yang tersenarai dalam carta Top 10 Billboard 200.

Bagi yang ingin mendapatkan tiket untuk siri jelajah Good Vibes, anda boleh membelinya secara online sejak Sabtu lalu hingga 13 Mei depan di laman superdeals.com.my dengan tawaran potongan harga eksklusif sebanyak 20 peratus.

Harga tiket bermula daripada RM198, RM298, RM398, RM498, RM598 dan RM698. Jangan lepaskan peluang anda berhibur di konsert ini.

https://www.superdeals.com.my/collection/jason-mraz-good-vibes-live-in-m...

Berita Harian X