Rabu, 17 April 2019 | 9:00am
Mimi mengaku membuat pelbagai jenis pekerjaan untuk mencari rezeki termasuk menjual laksa dan teh ais cincau. Foto NSTP Khairul Azhar Ahmad

Tiada 'job', Mimi Ernida jual laksa

KUALA LUMPUR: Hampir sembilan bulan tidak ditawarkan berlakon, Mimi Ernida teringat keperitan hidup apabila terpaksa menjual laksa melalui media sosial, gara-gara wang simpanan tinggal RM200, tahun lalu.

Dilahirkan dalam keluarga yang mencari rezeki berniaga, Mimi yang sudah sembilan tahun aktif dalam dunia seni, melakukan pelbagai kerja demi kelangsungan hidup.

“Tahun lalu, hampir sembilan bulan saya tiada ‘job’. Mula-mula, saya tidak risau. Tetapi apabila memasuki bulan kedua, tiada tawaran yang datang.

“Mujurlah masuk bulan ketiga, ada produksi mahukan saya berlakon untuk sebuah drama. Penggambaran hanya mengambil masa lima hari. Selepas itu, situasi berulang apabila tiada penerbit atau syarikat produksi yang hubungi saya,” katanya kepada BH Online.

Mimi yang membintangi Polis Evo berkata, disebabkan kesempitan hidup, dia nekad pulang ke kampung halaman di Kedah dan memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual teh air cincau.

“Saya menjual teh ais cincau pada harga RM2.50 di hadapan rumah keluarga. Ketika itu, saya tak boleh malu.

“Kalau malu dan terasa diri ini artis, saya tak boleh cari duit. Jadi, saya kena tebalkan muka. Ada peminat datang membeli dan ajak bergambar.

“Namun, mungkin disebabkan harga teh ais cincau mahal, saya berhenti berniaga. Saya kembali ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib sekali lagi,” katanya.

Buntu mencari penyelesaian, Mimi yang pandai memasak, mencuba nasib menjual laksa melalui Instagram selepas menyedari wang simpanan berbaki RM200.

“Saya promosikan laksa melalui Instagram... Ketika itu, saya hanya ada RM200.

“Penat hanya Tuhan saja tahu. Seawal lima pagi, saya sudah bangun untuk memasak laksa. Kali pertama, saya sediakan 50 bungkus laksa. Dalam sehari, saya boleh dapat untung bersih RM80,” katanya.

Teringat kenangan itu, Mimi dia tidak langsung memikirkan soal glamor atau dirinya bergelar artis ketika mencari rezeki halal.

“Keluar rumah dengan tak bersolek dan selekeh... Saya reda kerana apa yang penting, saya hendak mencari rezeki dengan membuat penghantaran terus kepada pembeli.

“Pada masa sama, saya menjual madu dan produk jualan langsung,” kata bekas peserta program pencarian Gadis Melayu pada 2010 ini.

Mimi berkata, atas pertolongan pengusaha Choco Fit, dia mula menjual produk pelangsingan itu sejak akhir September lalu.

“Saya hendak menjual produk itu, tetapi tiada wang. Hendak jadi agen perlu melabur sejumlah wang yang banyak.

“Mujur pemiliknya sangat baik. Saya hanya masukkan wang daripada pelanggan dan meminta produk dihantar kepada saya.

“Akhirnya, pihak mereka tolak duit kos dan serahkan kepada saya keuntungan bersih.

“Syukur selepas bulan pertama, saya mula menjana pendapatan sehingga RM5,000. Ketika itu, saya sangat gembira kerana dapat berkongsi rezeki dengan ibu bapa,” katanya.

Ibu Mimi mengusahakan restoran di hadapan rumah manakala ayah menjual ayam mentah. Malah, Mimi mahir menyembelih ayam membantu bapanya di kedai.

Mengenai karier lakonan, Mimi teruja kembali melakukan pekerjaan yang diminati sejak September lalu.

“Saya dapat berlakon drama Selafaz Cinta disusuli Senafaz Rindu. Walaupun sudah berlakon, saya masih menjual produk pelangsingan itu,” katanya.

Mimi berkata, dia banyak merenung kesilapan dirinya apabila tidak ditawarkan berlakon, tahun lalu.

“Selepas diuji apabila tiada penerbit mahu mengambil saya berlakon, saya sering memikirkan kesilapan diri.

“Mungkin ada kesalahan yang dilakukan hingga diduga begitu. Ketika susah, saya anggap ia ruang untuk saya melakukan terapi dan muhasabah diri,” katanya.

Berita Harian X