Rabu, 17 April 2019 | 4:15pm
Alif dan isteri, Sha Dila bakal menyambut anak ketiga, Oktober depan. Foto NSTP Nurul Shafina Jemenon

Duka ganti ceria

SUBANG JAYA: Reda isteri tersayang keguguran anak ketiga, awal tahun ini, artis serba boleh, Alif Satar dikurnia rezeki apabila suri hidupnya hamil lagi.

Bakal menyambut orang baharu, Oktober depan, Alif bersyukur dia dan isteri, Sha Dila Halid beroleh rahmat menambah cahaya mata.

“Saya reda dengan ujian apabila isteri keguguran. Ketika itu, kandungan masih awal, baru lapan minggu.

“Namun, saya tidak terlalu terbawa-bawa dengan perasaan sedih itu,” katanya ditemui di pelancaran aplikasi web Salam Today di sini, hari ini.

Di sebalik kejadian itu, Alif beroleh rahmat apabila Sha Dila hamil lagi.

“Isteri dijangka melahirkan anak keempat pada 10 Oktober depan. Jantina anak hanya diketahui lusa.

“Kami tidak kisah bayi lelaki atau perempuan,” katanya yang merangkul trofi Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu.

Menerusi perkahwinan dengan Sha Dila sejak 2014, mereka dikurniakan dua anak perempuan iaitu Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca, 2.

Berita Harian X