Rabu, 17 April 2019 | 5:12pm
Nabila enggan meratapi insiden keguguran, sebaliknya mahu terus hidup bahagia dengan suami dan anak. Foto NSTP Syarafiq Abd Samad
Nabila enggan meratapi insiden keguguran, sebaliknya mahu terus hidup bahagia dengan suami dan anak. Foto NSTP Syarafiq Abd Samad

Nabila reda keguguran

PETALING JAYA: Aktres Nabila Huda enggan meratapi insiden dirinya keguguran, sebaliknya mahu terus hidup bahagia dengan suami, Mohd Izwan Johar dan anak, Keisha Laila.

Nabila atau nama penuhnya, Nabila Huda Suhaimi, 35, menganggap apa yang dinikmati sekarang adalah tempoh ‘bulan madu’ dengan suami.

“Saya tidak mahu mahu bersedih... Sebaliknya, saya jadikan ia kesempatan diberi Tuhan untuk ‘berbulan madu’ dengan suami. Sebenarnya, saya sudah mula berfikir bagaimana fokus itu beralih jika ada seorang lagi anak.

“Seperti semua pihak sedia maklum, saya terpaksa berkongsi kasih sayang bersama Keisha yang cemburu. Apatah lagi, jika hamil, tidak tahu bagaimana situasi masa depan,” katanya ketika ditemui pada sidang media kempen Ramadan Raya Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Nabila berkongsi rakaman video Keisha yang menangis selepas mengetahui ibunya hamil dan dia bakal menjadi kakak.

Nabila berkata, dia dan suami selalu berdoa dikurniakan zuriat.

“Insya-Allah, jika ada rezeki. Saya dan suami berdoa dikurniakan zuriat dalam tempoh terdekat.

“Jika dikurniakan dua atau tiga orang anak, sudah melengkapkan keluarga kecil saya,” katanya.

Reda impian hamil tidak kesampaian, Nabila menjaga pemakanan dan tidak mengambil minuman sejuk.

“Selepas keguguran, saya mengawal pergerakan dan tidak terlalu lasak. Ini kerana saya masih mengalami pendarahan,” katanya.

Nabila dan Mohd Izwan bernikah pada 2015. Pada perkahwinan pertama, Nabila dikurniakan Keisha yang kini berusia sembilan tahun.

Berita Harian X