Khamis, 18 April 2019 | 11:00am
SHAMSUL mahu Anjung Mengaji untuk memberi peluang kepada orang ramai mempelajari al-Quran. Foto IG Shamsul Ghau Ghau

Shamsul 'gayat' dipanggil ustaz

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Shamsul Ghau Ghau mengakui, kekok apabila semakin ramai memanggilnya ustaz selepas menerima tauliah mengajar al-Quran, baru-baru ini.

Shamsul berkata, panggilan itu membuatkan dia terfikir tanggungjawab besar yang sedang menanti dan harus dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.

“Sebenarnya saya ‘gayat’ apabila dipanggil ustaz. Saya pernah melalui beberapa fasa dalam hidup dan apabila memasuki bidang seni, saya perlu menyesuaikan diri apabila dikenali ramai.

“Sekarang, apabila mula berdakwah dan mengajar orang mengaji, saya dipanggil ustaz pula. Jika ada yang memanggil dengan gelaran itu, saya iyakan sahaja. Besar tanggungjawab itu, tetapi ia menjadi bekalan saya di sana nanti,” katanya.

Terdahulu, pemilik nama sebenar, Shamsul Azahar Aliddin, 50, berkongsi gambar kad pentauliahan mengajar al-Quran diterimanya daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), baru-baru ini.

Katanya, kad identiti Pemegang Tauliah MAIS itu melayakkannya mengajar al-Quran di Selangor sehingga 31 Disember 2022.

Shamsul berkata, ketika ini, jumlah pelajarnya belum ramai, memandangkan dia tidak mempunyai ruang khusus untuk mengajar.

“Sebelum ini, ada pihak yang memberikan ruang mengajar sementara. Ketika ini, saya hanya menerima pelajar lelaki. Jika ada wanita yang menghubungi, saya usulkan tenaga pengajar kaum Hawa untuk memudahkan sesi pengajaran.

“Insya-Allah, jika ada rezeki nanti, saya berhasrat membina Anjung Mengaji di kediaman saya di Bangi supaya lebih ramai yang dapat datang,” tambah pelakon filem Sara itu.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia kini dalam usaha mengumpul dana untuk membina gelanggang mengaji seperti di kampung.

“Saya ada menerima sumbangan RM10,000 daripada insan yang pemurah untuk merealisasikan Anjung Mengaji. Saya harap ia dapat menjadi ruang untuk mereka yang ingin mempelajari al-Quran nanti.

“Ia lebih mudah kerana ramai dapat menikmati kemudahan itu, selain mengimbau kenangan kita mengaji ketika zaman kanak-kanak dahulu,” katanya.

Shamsul berkata, dia memperuntukkan setiap Rabu untuk sesi mengajar al-Quran, memandangkan hari lain terikat dengan komitmen seni, bisnes makanan, belajar agama dan ceramah.

Katanya, sebagai ketua keluarga, ditambah keperluan sekolah tiga cahaya mata berusia 14 hingga lima tahun, dia perlu melipat gandakan usaha mencari rezeki.

“Lakonan masih punca rezeki saya. Saya harus bekerja kerana ada bil perlu dibayar dan belanja sekolah anak. Mungkin ada yang menyangka saya tidak lagi terbabit dalam bidang seni selepas aktif berdakwah.

“Saya masih berlakon dan kalau boleh, mahu jadi seperti Allahyarham M Rajoli yang berdakwah menerusi lakonan. Isteri turut turun padang membantu menjual minyak wangi, kerepek dan biskut. Alhamdulillah, rezeki kami sekeluarga dipermudahkan,” kata Shamsul.

Berita Harian X