X
Sabtu, 20 April 2019 | 9:00am
PELAKON, Ain Edruce, mengenali kekasihnya, Amirul Hafiz, sejak setahun lalu. - Foto ihsan Ain Edruce
PELAKON, Ain Edruce, mengenali kekasihnya, Amirul Hafiz, sejak setahun lalu. - Foto ihsan Ain Edruce

Kami mungkin bertunang Jun depan - Ain Edruce

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ain Edruce, 27, berkata dia dan kekasih, Amirul Hafiz, mungkin akan ditunangkan pada musim sambutan Aidilfitri nanti.

Menurut bintang Kekasih Paksa Rela itu, gambar dikongsinya di laman sosial Instagram, semalam, bukanlah majlis pertunangan, sebaliknya acara merisik.

“Mengikut perancangan, kami berkemungkinan ditunangkan pada Jun depan, selain disatukan sebagai suami isteri pada Februari 2020,” katanya yang mengenali ahli perniagaan itu sejak setahun lalu menerusi laman sosial popular terbabit.

Semalam, Ain berkongsi gambar dirinya disarungkan cincin oleh seorang wanita yang dipercayai ibu kepada buah hatinya. Perkongsian itu mendapat puluhan ribu ‘like’ dengan sebahagian besar pengikutnya memberikan ucapan tahniah kepada artis tinggi lampai berkenaan.

AIN berkongsi gambar sekitar majlis merisik di laman sosial Instagramnya, semalam. - Foto Instagram Ain Edruce
AIN berkongsi gambar sekitar majlis merisik di laman sosial Instagramnya, semalam. - Foto Instagram Ain Edruce

“Jika ditanya soal bersedia untuk mendirikan rumah tangga, bagi saya, ia sangat subjektif. Saya percaya, ia datang bersama tanggungjawab.

“Selalunya, kata orang, kalau kita belum bersedia untuk berkahwin, ketika itulah kita sebenarnya sudah bersedia menggalas tugas sebagai isteri,” katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai buah hatinya, Ain berkata, lelaki itu sangat berbeza daripada kebanyakan pemuda lain yang ingin mengenalinya.

“Selain Amirul, ada juga lelaki lain yang menghantar pesanan di Instagram untuk mengenali saya dengan lebih dekat. Namun, caranya berbeza. Amirul seorang yang sangat budiman ketika menyatakan hasratnya untuk berkenalan.

“Dia bukan jenis yang berlebih-lebih dalam usahanya memenangi hati saya. Pendek kata, tidaklah sampai keluar ayat seperti ‘bergelar tulang rusuk apabila melihat gadis seperti kamu’. Amirul juga tidaklah terlalu romantik, sebaliknya lelaki yang suka berterus-terang,” katanya.

AIN akui kekasihnya seorang lelaki budiman.
AIN akui kekasihnya seorang lelaki budiman.

Tambah Ain, dia sebenarnya sudah lama mengimpikan untuk memiliki keluarga sendiri.

“Apabila melihat kakak saya yang sudah berumahtangga dan mempunyai cahaya mata, hati saya terdetik untuk menikmati kehidupan sama. Insya-Allah, perkenalan dengan Amirul seperti menjadi isyarat saya kini menuju ke arah itu,” katanya.

Berita Harian X