Ahad, 21 April 2019 | 1:00pm
ISTERI arwah penyanyi, Saleem, Julia Bachok, bersama anaknya, Amirul Saleem, pada sidang media Showcase Supernova of The Legendary di G Tower, Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa

'Saya tak pernah bergaduh dengan Syafiq'

KUALA LUMPUR: Isteri Allahyarham Saleem, Juriah @ Julia Bachok, mengakui hubungan dengan anak tiri, Syafiq Farhain, agak keruh berikutan pertelingkahannya dengan syarikat rakaman yang memayungi penyanyi itu.

Dakwa Julia, syarikat terbabit menerbitkan sebuah album kompilasi menggabungkan arwah suaminya dan Syafiq tanpa kebenaran, seminggu selepas Saleem menghembuskan nafas terakhir, Oktober tahun lalu.

“Saya bukannya menyerang Syafiq, tidak pernah sesekali menyalahkannya. Saya sebenarnya berang dengan tindakan syarikat rakaman itu menerbitkan album kompilasi yang memuatkan tiga lagu baharu nyanyian arwah, tanpa sepatah pun meminta izin.

“Lebih membuatkan saya terkilan apabila album itu diterbitkan selepas seminggu arwah meninggal dunia. Kami sekeluarga masih bersedih atas pemergian arwah. Wajarkah mereka berbuat begitu?

“Mereka kena hormati saya dan anak arwah. Tanah kubur pun masih merah. Apa salahnya mereka minta kebenaran terlebih dahulu? Jadi, saya buat laporan polis dan merujuk kepada pakar perundangan. Bagaimanapun, isu itu dapat diselesaikan dengan baik atas nasihat peguam,” katanya.

Julia berkata, Syafiq mungkin salah faham dan termakan hasutan ketika isu berkenaan hangat diperkatakan.

“Saya tidak pernah bergaduh dengan Syafiq dan anak arwah yang lain. Saya hanya ‘mengamuk’ dengan syarikat rakaman.

“Cuma, ada yang tersalah anggap terhadap saya apabila hubungan arwah dengan anaknya renggang, satu ketika dahulu. Saya tidak pernah mencampuri urusan arwah bersama mereka.

“Malah, saya melayan mereka dengan baik ketika masing-masing datang menziarahi arwah di hospital,” katanya ketika ditemui selepas majlis sidang media Showcase Supernova of The Legendary, di sini.

Diadakan sebagai penghargaan buat bekas vokalis Iklim itu, persembahan terbabit bakal menampilkan 15 penyanyi, termasuk Syafiq dan anak bongsu arwah, Amirul Saleem.

PENYANYI, Syafiq Farhain, baru sahaja melancarkan lagu duet bersama Baby Shima berjudul Manis-Manis Cinta. - Foto Aziah Azmee

Antara artis yang akan terbabit sama dalam showcase bakal diadakan selepas Aidilfitri nanti ialah Syamel, Haqiem Rusli, Tam Spider, Irwan Ahmad, Uchop Ahmad, Nas Kilauan Emas dan Cherpen Band.

Julia berkata, dia tidak pernah mengetepikan Syafiq apabila syarikatnya, Salju’s Entertainment, menganjurkan konsert tribute itu.

“Menerusi seorang rakan, Syafiq sudah pun menyatakan persetujuan untuk menyertai konsert ini.

“Supernova of The Legendary ialah kesinambungan konsert jelajah pernah arwah persembahkan sebelum meninggal dunia. Menjadi impian arwah mahu menjelajah seluruh negara, termasuk Indonesia. Jadi, saya hanya menunaikan impiannya,” katanya.

Berita Harian X