Rabu, 24 April 2019 | 11:00am
Sam Shaffik enggan mempersia-siakan peluang dengan mencuba bidang nyanyian dan lakonan selepas menjuarai program pencarian jejaka, baru-baru ini. Foto IG Sam Shaffik

Sam Shaffik nak cuba semua

KUALA LUMPUR: Ketika remaja seusia tercari-cari haluan hidup, bakat baharu, Sam Shaffik sudah memasang impian menjadi pelakon dan penyanyi R&B.

Menjuarai program pencarian jejaka, Mister Planet - Nation Malaysia 2019, Sam, 18, mula menyusun strategi untuk bertapak dalam dunia seni.

“Saya mula berkongsi bakat nyanyian sejak berusia 12 tahun lagi. Sejak menghasilkan cover atau saduran lagu-lagu artis terkenal dua tahun lalu, saya percaya, nyanyian adalah karier.

“Saya mahu melawan arus dengan menyanyikan lagu berkonsepkan R&B, rap dan latin. Saya mahu membuat perubahan.

“Kalau diberi peluang, saya juga mahu berlakon... Saya terbuka dengan apa sahaja peluang yang ada dan mahu mencari diri,” katanya kepada BH Online.

Sam atau nama sebenarnya, Muhammad Shahmy Shaffik masih menuntut dalam bidang muzik di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

“Pengajian saya masih berbaki dua tahun. Setakat ini, saya boleh membahagikan masa antara pelajaran dan bidang seni.

“Kerjaya seni saya diuruskan Syarikat Fastyle dan beberapa projek sedang dirangka,” katanya.

Bercerita mengenai keluarga, Sam berkata, dia adalah anak saudara kepada Arianie iaitu isteri kepada Hattan.

“Emak dan ibu saudara saya itu selalu berjumpa dan saya menemani mereka,” katanya.

Pada pertandingan Mister Planet - Nation Malaysia 2019, selain hadiah wang tunai RM5,000, Sam turut mendapat ganjaran berlakon di bawah Syarikat Zeel Production.

Berita Harian X