Rabu, 24 April 2019 | 1:00pm
PENYANYI, Hafiz Hamidun (kanan) dan Fitri Haris pada sidang media konsert Nur Ramadhan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENYANYI, Hafiz Hamidun (kanan) dan Fitri Haris pada sidang media konsert Nur Ramadhan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Fitri tiada masalah kongsi pentas dengan UNIC

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Fitri Haris, menepis dakwaan dia tidak boleh bekerjasama dengan kumpulan pernah dianggotainya, UNIC, biarpun mereka pernah berselisih faham, sebelum ini.

Menurut Fitri, jika ada permintaan yang memerlukan mereka berkongsi pentas, hasrat itu akan tetap ditunaikan kerana dia seorang artis profesional.

“Saya tiada masalah untuk berkongsi pentas dengan mereka. Malah, baru-baru ini, kami diundang menjayakan konsert di sebuah pusat pengajian tinggi. Apabila bertemu, kami tetap bertegur sapa. Saya seorang yang sangat profesional dalam bekerja.

“Apabila orang undang kita menyanyi, kita buat sahajalah. Malas nak fikir perkara yang boleh mendatangkan masalah. Biasalah, mulut orang kita tak boleh nak tutup,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media Konsert Nur Ramadhan, di sini.

Hadir sama, Hafiz Hamidun dan bekas anggota kumpulan V.E yang kini bergerak secara solo, Lah Ahmad.

Konsert percuma sempena menyambut kedatangan Ramadan itu akan diadakan pada 27 April ini di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, di sini.

KUMPULAN UNIC yang dianggotai oleh Fakhrul, Bazli dan Najdi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KUMPULAN UNIC yang dianggotai oleh Fakhrul, Bazli dan Najdi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sementara itu, Hafiz, yang pernah menganggotai kumpulan cukup popular dengan lagu Hanya Tuhan Yang Tahu terbabit turut memberikan nasihat agar segala sengketa tidak diperbesarkan demi menjaga imej masing-masing sebagai penyanyi nasyid.

“Apabila kontroversi itu timbul, ramai yang bertanya, saya berada di pihak mana? Saya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya perlu berlaku adil.

“Sebagai penyanyi lagu berunsur dakwah, nasihat saya, kita kena bersihkan hati dan buang segala perasaan hasad dengki dalam diri.

“Lagipun, pemilik lagu itu sendiri sudah memberikan kenyataan Fitri boleh menyanyikan lagu kumpulan UNIC tanpa sebarang halangan. Apa yang penting, kita kena bersikap profesional dan berlapang dada,” ujar Hafiz.

Sebelum ini, UNIC yang dianggotai oleh Fakhrul, Bazli dan Nadji meluahkan kekesalan dengan tindakan juara Gema Gegar Vaganza musim kedua itu yang masih menyanyikan lagu mereka setiap kali menjayakan persembahan.

Mereka menyifatkan tindakan berkenaan secara tidak langsung mengganggu periuk nasi kumpulan terbabit yang masih aktif dalam industri muzik.

Berita Harian X