Rabu, 24 April 2019 | 2:00pm
PELAKON, Nadia Brian, dan kekasih, Muizz Nasruddin, bakal ditunangkan di Shah Alam pada 4 Mei depan. - Foto Instagram Nadia Brian

Nadia Brian bertunang 4 Mei

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadia Brian, 28, dan ahli perniagaan, Muizz Nasruddin, bakal mengikat tali pertunangan pada 4 Mei depan.

Menurut bintang drama Cinta Tanpa Henti itu, mereka akan ditunangkan dalam majlis kecil-kecilan di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor.

“Majlis pertunangan kami akan diadakan secara kecil-kecilan sahaja dan bakal dihadiri anggota keluarga serta kenalan terdekat.

“Mengenai pernikahan pula, apa yang boleh saya katakan, tarikh untuk kami disatukan sebagai suami isteri bergantung kepada rezeki.

“Jika mengikut perancangan, ia mungkin dilangsungkan pada awal 2020 atau secepat-cepatnya penghujung tahun ini,” katanya kepada BH Online.

Kata Nadia, dia amat bersyukur apabila hubungan bersama Muizz, 28, yang mekar sejak penghujung tahun lalu menuju ke fasa lebih bermakna.

“Saya sendiri berharap perkara baik ini dapat dipercepatkan,” kata pelakon filem Ratu Kala Jengking itu.

Februari lalu, Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi menerima lamaran kekasihnya di Paris, Perancis, dalam suasana romantik berlatarkan pemandangan Menara Eiffel.


NADIA ketika menerima lamaran kekasih di Paris, Februari lalu. - Foto Instagram Nadia Brian

Nadia mengenali pemuda berkenaan menerusi teman baik yang juga pelakon, Ainul Aishah, kira-kira dua tahun lalu.

“Ketika itu, kami hanya berkawan. Saya sendiri tidak mahu memberikan sebarang harapan kepadanya, waktu itu, dan pada masa sama sibuk dengan aktiviti lakonan.

“Namun, pada penghujung tahun lalu, kami kembali rapat. Dia juga tidak pernah berputus asa untuk menambat hati saya,” katanya.

Berita Harian X