Rabu, 24 April 2019 | 4:22pm
Diwan berharap pelbagai pihak sudi memberi sumbangan bagi membolehkan mereka membawa cabaran Malaysia di pertandingan WCOPA di AS, Julai depan. Foto NSTP Eizairi Shamsudin

Diwan rayu dana buru impian di WCOPA

KUALA LUMPUR: Berazam mengharumkan nama negara, kumpulan penari yang menggelarkan diri mereka Diwan, mencari dana dan tajaan bagi menyertai Pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2019 di Long Beach, California, Amerika Syarikat (AS), Julai depan.

Mengaku bukan mudah mendapatkan RM100,000 untuk membayar yuran dan perbelanjaan mereka bertujuh di AS, ketua kumpulan, Mohd Izwan Suhairi, 31, memberitahu, mereka memerlukan bantuan orang ramai merealisasikan impian itu.

“Dana yang kami ada sekarang kira-kira RM32,000, iaitu wang kemenangan ketika pertandingan pemilihan ke WCOPA.

“Kami memerlukan RM70,000 lagi untuk ke California, termasuk yuran sebanyak USD6,500 atau kira-kira RM27,000.

“Dana dan tajaan yang kami terima akan digunakan sepenuhnya untuk pertandingan. Bajet lain termasuk perbelanjaan peribadi kami akan usahakan sendiri,” katanya kepada BH Online.

Mohd Izwan berkata, selepas dana mencukupi, baru mereka merancang perjalanan ke negara Uncle Sam itu.

“Jika ada tajaan yang cukup, kami berniat mencuba nasib dalam empat kategori iaitu seni, lakonan, tarian dan peragaan di WCOPA,” katanya yang ditemui di sesi latihan di ibu negara, baru-baru ini.

Pertandingan yang akan berlangsung dari 12 hingga 21 Julai itu mampu menjadi batu loncatan untuk membawa mereka melangkah lebih jauh dalam bidang seni dan tarian.

Tambah Mohd Izwan, selama ini, peserta Malaysia yang bertanding di WCOPA mencipta kejayaan membanggakan.

“Kami mahu membawa pulang pingat emas untuk Malaysia. Insya-Allah, dengan sokongan yang diberi, kami akan gunakan peluang ini sebaik-baiknya,” katanya.

Selain Izwan, Diwan dianggotai Fatin Syahirah Kemaru, 21; Fatin Hani Sofea Kemaru, 16; Mohd Khairil Md Sukor, 31; Nor Lydia Rusni, 36; Abdul Hadi Firdaus Amran, 28 dan Muhammad Nazri Lanibi, 25.

Mengimbas kembali penubuhan kumpulan yang diasaskan Izwan dan Hadi sejak tahun lalu, Izwan berkata, semua ahli mempunyai pengalaman dalam bidang tari.

“Diwan ditubuhkan ketika kami menyertai Malaysian Floor Pattern Sport Dance di Istana Budaya, tahun lalu. Pada pertandingan itu, kami muncul juara bagi kategori profesional dan busana terbaik.

“Sejak itu, kami aktif menyertai pertandingan tarian. Kami bersyukur kali pertama mencuba, kami dipilih sebagai peserta tempatan yang layak ke WCOPA, tahun ini.

“Kalau diikutkan, sebelum bergerak bersama kumpulan, saya pernah dua kali menyertai pertandingan pemilihan untuk ke WCOPA, tetapi tidak berjaya.

“Jadi, apabila tertubuhnya Diwan, saya berhasrat membawa kawan-kawan bersama ke AS,” katanya.

Bakal mengetengahkan konsep Melayu Kontemporari, Diwan merancang mempersembahkan tarian piring yang berasal dari Negeri Sembilan.

Tambah Hadi, mereka bakal bersaing dengan wakil dari 64 negara, justeru keunikan idea amat penting dalam persembahan mereka.

“Kami akan mengangkat budaya Negeri Sembilan dengan penambahan idea yang agak unik. Kalau kita lihat, tarian piring yang lazim dipentaskan, tiada aksi melambung atau membaling piring. Tetapi kami memilih untuk menyelitkan kreativiti dengan berbuat demikian.

“Kami lihat tarian ini tidak pernah dipersembahkan di WCOPA. Jadi, kami mahu mengangkat tarian piring di mata dunia. Pada masa sama, kami mahu mengangkat tarian Negeri Sembilan yang jarang dilihat sekarang.

“Kami mahu barisan juri dari pelbagai negara melihat keunikan tarian kita,” katanya.

Berita Harian X