Khamis, 25 April 2019 | 8:51pm
SUFIAN tak kisah dikatakan masih hidup dalam kenangan gara-gara babak menaiki helikopter dalam video muzik lagu terbarunya. Foto Salhani Ibrahim

'Biarlah kalau orang masih nak kaitkan kisah lama'

KUALA LUMPUR: Penyanyi Sufian Suhaimi tidak menyalahkan peminat apabila mereka menganggap, dia masih belum dapat melupakan episod pahit putus tunang yang dilaluinya, tahun lalu.

Sufian juga tidak melatah apabila dikatakan masih hidup dalam kenangan gara-gara menyelitkan babak menaiki helikopter dalam video muzik single terbarunya, Mencuba.

“Saya tahu babak itu membuatkan peminat keliru hingga membangkitkan isu, kononnya saya masih tidak boleh melupakan kisah cinta lalu.

“Sebenarnya, babak itu ditambah pada saat akhir selepas mendapat tajaan sebuah syarikat penerbangan persendirian.

“Sejak awal lagi, saya sudah bersedia dengan pandangan orang. Saya tidak salahkan peminat jika mereka mengaitkan babak itu dengan episod pahit yang pernah berlaku dalam kehidupan realiti saya,” katanya.

Sufian yang ditemui pada majlis pengiktirafan lagu Di Matamu oleh The Malaysia Book Of Records (MBOR) dan pelancaran single terbarunya itu berkata, apa yang diperkatakan ramai hanya membabitkan satu babak dan bukan keseluruhan jalan cerita video muzik itu.


SUFIAN tidak mahu penampilannya yang dikatakan selekeh dikaitkan dengan kisah lama. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sementara itu, mengulas pencapaian cemerlang Di Matamu yang mencatat tontonan tertinggi mencecah hampir 58 juta di YouTube, Sufian berkata, lagu itu diterima bukan semata-mata disebabkan kisah peribadinya.

Katanya, walaupun diperkenalkan ketika dia sedang berduka selepas melalui episod putus tunang dengan pelakon, Elfira Loy, cerita di sebalik lagu itu turut menjadi antara faktor utama kejayaan Di Matamu.

“Bagi saya, kehidupan peribadi saya hanya faktor penyokong, sedangkan lagu ini mempunyai kekuatan tersendiri dari sudut melodi dan lirik.

“Setiap kali menghasilkan lagu baharu, saya akan pastikan ia memenuhi piawaian yang ditetapkan. Berjaya atau tidak, saya tidak mampu meramal.

“Sekiranya berjaya, saya anggap ia sebagai rezeki. Tetapi, jika gagal, saya tetap akan terus berkarya dan berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.

Lagu ciptaan Sirkhan dan Rynkarnaen itu memecah rekod yang sebelum ini dipegang Aiman Tino menerusi lagu Ku Rela Dibenci dengan 43 juta tontonan.

Berita Harian X