Jumaat, 26 April 2019 | 5:59pm
PENYANYI, Andi Bernadee, disamakan oleh peminat dengan karakter popular dalam siri animasi Doraemon, Suneo. - Foto ihsan Aqo Imran

Andi tak kisah disamakan dengan Suneo

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Andi Bernadee, tidak terasa hati biarpun dirinya disamakan dengan watak Suneo Honekawa daripada siri animasi popular Jepun, Doraemon.

Kata penyanyi yang kini cukup popular dengan lagu Donde itu, dia menerima segala kritikan dan komen diberikan peminat asalkan ia tidak melanggar batasan agama atau sensitiviti mana-mana pihak.

“Saya hanya tertawa apabila ada yang menyamakan diri ini dengan watak kartun terbabit. Saya juga tidak mengambil hati dengan perbandingan yang dibuat.

“Mungkin kerana gaya rambut yang terpacak ke depan, ia membuatkan saya disamakan dengan karakter kartun itu.

“Tidak tahu pula jika ada persamaan lain antara kami, seperti wajah dan sebagainya. Apa pun, saya terima sahaja kerana ia sekadar jenaka bersama peminat,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang sebelum ini meledak dengan lagu Satu Peluang itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran produk kosmetik BB X Shalicious, di sini.

Mendendangkan dua single popular berkenaan pada majlis itu, penyanyi kelahiran Sabah ini turut memaklumkan sedang mencari material bersesuaian untuk dipertaruhkan pada Anugerah Juara Lagu (AJL) akan datang.

“Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka Donde diterima dengan begitu baik oleh peminat, biarpun ada yang kurang selesa mendengarnya.

“Ia memang berbeza dengan genre sedia ada kerana lagu itu menyelitkan unsur muzik Latin dan bersifat ‘catchy’, seperti pernah dibawakan oleh Shawn Baharin.

“Buat masa ini, saya sedang merancang penghasilan single seterusnya untuk dipertandingkan pada AJL. Apa yang pasti, identiti saya harus dikekalkan dalam lagu terbabit,” kata Andi.

Berita Harian X