Sabtu, 27 April 2019 | 5:57pm
PELAKON, Mia Ahmad, meraikan ulang tahun kelahiran suami di Johor Bahru, semalam, dengan menggayakan gaun pengantin yang sepatutnya dipakai pada majlis resepsi di ibu negara, dua tahun lalu. - Foto Instagram Mia Ahmad

Mia dapat gayakan baju pengantin selepas dua tahun

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun, pelakon, Mia Ahmad, 31, akhirnya dapat menyarungkan busana perkahwinan yang sepatutnya digayakan pada majlis resepsi di ibu negara.

Bintang Hati Mr Boss, Miss Stalker itu berkata, gaun berkenaan dipakainya pada majlis sambutan ulang tahun suaminya, Mohd Izham Tarmizi Roslan, 28, di sebuah hotel di Johor Bahru, semalam.

“Lama juga saya menunggu detik untuk menyarungkan gaun pengantin ini. Nasib baik ia masih muat untuk dipakai, selepas dua tahun berkahwin dan melahirkan anak kami yang kini berusia tujuh bulan, Sayf Issa.

“Seronok dan gembira jugalah rasanya apabila akhirnya dapat menggayakan gaun pengantin ini,” katanya kepada BH Online.

Kata Mia juga, majlis sambutan hari lahir pemain bola sepak pasukan JDT itu turut menjadi ruang buat kedua-duanya mengundang teman yang tidak dapat meraikan perkahwinan mereka, sebelum ini.

“Ada kawan Izham yang tidak dapat menyaksikan detik bahagia kami, dua tahun lalu. Jadi, alang-alang mengadakan majlis hari lahirnya, kami sepakat untuk menjemput kawan masing-masing hadir sama meraikan. Kiranya, macam majlis dua dalam satu,” katanya.

MIA bersama suami, Mohd Izham Tarmizi dan anak mereka, Sayf Issa. - Foto Instagram Mia Ahmad

Mia dan Izham berkahwin pada 13 Januari 2017 di Taiping Sentosa Villa.

Selepas majlis pernikahan berkenaan, mereka diraikan pula dalam acara bertandang yang berlangsung di negeri kelahiran ahli sukan itu, Terengganu.

Majlis ketiga sepatutnya diadakan di sebuah hotel di sini pada 22 Mac 2017, namun ia terpaksa dibatalkan berikutan kepadatan jadual Izham.

Berita Harian X