Isnin, 29 April 2019 | 4:12pm
MESKIPUN namanya kurang menyerlah, Fina masih laris memenuhi undangan nyanyian. Foto NSTP
MESKIPUN namanya kurang menyerlah, Fina masih laris memenuhi undangan nyanyian. Foto NSTP

Fina Jebat tak cemburu pencapaian kakak

KUALA LUMPUR: Meraih tempat ketiga ketika menyertai program realiti, Akademi Fantasia musim kesembilan, lapan tahun lalu, tuah Fina Jebat dalam bidang seni bagaimanapun, tidak secerah kakaknya.

Adik kepada Ayda Jebat itu berkata, dia sudah lali dibandingkan, namun tidak pernah sesekali mengambil kesempatan menggunakan populariti kakaknya untuk membina nama.

Fina atau nama lengkapnya, Nur Shafinaz Jebat yang pernah dikenali dengan lagu, Menangis Lagi itu berkata, dia lebih berpuas hati mencapai sesuatu atas usaha sendiri.

“Saya tidak pernah cemburu dengan kejayaan yang dikecapi kakak. Rezeki setiap manusia sudah ditentukan-Nya, cuma yang membezakan antara cepat atau lambat. Mungkin rezeki kakak murah kerana dia mempunyai kelebihan sebagai penyanyi dan pelakon.

“Saya tidak mahu menggunakan nama dan pengaruh kakak untuk dikenali. Lagipun, saya lebih suka begini dan tiada masalah berusaha sendiri. Itu lebih memberikan kepuasan,” katanya yang masih aktif menerima tawaran persembahan pentas.

Fina berkata, meskipun jarang mendapat liputan media massa, minatnya terhadap bidang nyanyian tidak pernah pudar.

Dia yang menjadi penyanyi residen di Hard Rock Cafe, Melaka sejak tiga tahun lalu mengakui, seronok dengan pengalaman yang dilaluinya.

“Saya banyak menimba pengalaman untuk menjadi penyanyi yang baik di situ. Sesekali apabila ada undangan nyanyian di ibu negara, saya akan penuhi.

“Kebiasaannya, saya akan membawa lagu popular semasa, tetapi jika ada permintaan menyanyikan lagu sendiri, saya berbesar hati memenuhinya. Sekurang-kurangnya masih ada yang ingat saya pernah mempunyai lagu sendiri,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X