Isnin, 29 April 2019 | 7:11pm
Fizz tidak menyangka ada peminat taksud dengan watak Murad yang dibawanya dalam drama rantaian Kamar Kamariah. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman
Fizz tidak menyangka ada peminat taksud dengan watak Murad yang dibawanya dalam drama rantaian Kamar Kamariah. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

Benci 'Murad' sampai tak mahu tolong

KUALA LUMPUR: Sedar penangan watak Murad yang dibawa dalam drama Kamar Kamariah membuatkan dirinya dibenci, Datuk Fizz Fairuz tidak sangka ada peminat taksub hingga enggan membantu ketika ditimpa kesusahan.

Fizz berkongsi pengalaman apabila dirinya terkandas di tepi lebuh raya gara-gara tayar keretanya pancit, pagi tadi.

Aktor yang sebelum ini ‘panas’ dengan kontroversi konon ditangkap khalwat, terkejut sebaik membaca mesej dihantar peminat yang perasan dirinya ‘tersadai’ di tepi jalan, tetapi enggan menolong.

“Saya terkejut apabila ada yang meninggalkan komen mendakwa nampak saya terkandas kerana tayar kereta pancit.

“Tetapi peminat terbabit mengaku enggan membantu kerana benci dengan watak Murad yang saya bawa. Malah, ada yang ajak saya bergaduh di Instagram (IG) gara-gara karakter jahat itu,” katanya kepada BH Online.

Reaksi itu diterima Fizz apabila dia berkongsi video menunjukkan petugas di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) sedang membantunya menukar tayar kereta yang pancit.

Dalam drama Kamar Kamariah, Fizz menghidupkan watak Murad iaitu suami kepada Kamariah lakonan Nabila Huda.

Mengaku perlu menghayati watak Murad yang digambarkan sebagai lelaki kejam, Fizz berharap peminat tidak terlalu taksub hingga gagal membezakan antara lakonan dan realiti.

“Tak sangka ada yang nampak (saya) tetapi tidak mahu menolong kerana watak Murad.

“Saya kongsi video namun akhirnya ia menjadi medan pergaduhan pula.

“Malah, saya perhatikan, apa sahaja perkongsian dibuat di laman sosial, menjadi medan untuk meluahkan amarah. Isteri saya, Datin Almy Nadia pun terkena tempiasnya,” katanya.

Sering membawakan watak jahat, Fizz kerap menjadi mangsa luahan amarah netizen. Dakwanya, dia pernah diludah seorang warga emas kerana tidak berpuas hati dengan lakonan kejamnya.

“Mungkin demam Nur 2 baru berakhir dan Kamar Kamariah mula ditayangkan TV3 mengangkat tema wanita lemah menjadi mangsa suami yang ‘menunggang’ agama.

“Apa yang penting, Nabila tidak cedera ketika penggambaran kerana teknik kamera. Jika tidak, pasti Nabila sudah membuat laporan polis kerana kekejaman saya,” katanya berseloroh.

Selain Fizz dan Nabila, drama bersiri arahan Raja Ahmad Alauddin yang sudah memasuki episod kesembilan itu, turut menampilkan Aidil Aziz, Tasha Shilla dan Syafie Naswip.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X