Selasa, 30 April 2019 | 5:02pm
MICHAEL mengakui sudah memeluk Islam sejak setahun lalu. Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Michael Ang sudah setahun peluk Islam

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah, Michael Ang membuat pengakuan sudah memeluk Islam sejak setahun lalu.

Michael berkata, dia membuat pengakuan itu kerana tidak mahu masyarakat terus berteka-teki mengenai status agamanya, terutama apabila dia ke masjid untuk menunaikan solat.

“Alhamdulillah, sudah lebih setahun saya memeluk Islam dan sudah bersedia memberitahu perkara ini kepada semua. Selama saya mendalami agama Islam, banyak perkara yang saya harus pelajari.

“Rasanya lebih baik saya berterus terang daripada orang melihat saya di masjid dan memperkatakan perkara ini.

“Saya juga tidak mahu perkara ini diperbesarkan kerana ia antara saya dan Allah,” kata Michael dalam rakaman video yang dimuat naik di YouTube, sebentar tadi.

Ramadan lalu, status agama Michael atau nama penuhnya, Michael Ang Hai Swee mencetuskan persoalan ramai apabila dia kerap berkongsi pengalaman belajar berpuasa.

Pengarah filem Kimchi Untuk Awak itu turut memohon peminat supaya mendoakan dia kekal sebagai seorang Islam sehingga akhir hayat.

“Doakan saya kekal pada jalan ini dan saya alu-alukan segala tunjuk ajar daripada semua. Semoga kita dilihat baik di mata Allah,” katanya.

Berita Harian X