Jumaat, 3 Mei 2019 | 7:21pm
PELAKON, Hairul Azreen, mengalami kecederaan pada kakinya ketika menjalani penggambaran filem, Wira, kelmarin. - Foto Instagram Hairul Azreen

Hairul Azreen cedera lakon babak aksi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hairul Azreen, berdepan detik cemas apabila ligamen kakinya terkoyak ketika menjalani penggambaran filem, Wira, kelmarin.

Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris, 31, menjelaskan kejadian terbabit berlaku sewaktu menjayakan babak aksi terjun.

“Ligamen kaki saya terkoyak melakukan aksi terjun daripada tingkat dua sebuah bangunan. Kejadian itu berlaku dua hari lalu ketika saya perlu melompat bagi menjayakan babak dalam filem Wira.

“Jujurnya saya sedih dan hanya Tuhan yang tahu apa saya rasa di dalam. Nampaknya, perkara yang sering kali diharapkan tidak berlaku, kali ini terjadi juga. Begitupun, saya terima dugaan ini dengan hati terbuka,” kata Hairul.

Bintang Paskal itu turut mengucapkan penghargaan kepada pihak produksi kerana mengambil langkah pantas ketika insiden terbabit terjadi.


HAIRUL (tengah) bersama tenaga produksi yang menemaninya ketika mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan. - Foto Instagram Hairul Azreen

“Terima kasih kepada pihak produksi kerana turut membiayai rawatan kaki saya. Buat waktu ini, saya perlu berehat bagi memastikan kaki pulih sebelum kembali ke set penggambaran.

“Doakan saya dapat kembali beraksi semula untuk filem Wira,” katanya lagi.

Selain Hairul, filem arahan Adrian Teh itu turut dibintangi oleh Henley Hii, Ismi Melinda, Josiah Hogan, Ken Abdullah dan Dain Said.

Berita Harian X