Sabtu, 4 Mei 2019 | 5:37pm
PELAKON, Nadia Brian dan Mu'izz Nasruddin selamat melangsungkan pertunangan di Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam. - Faiz Anuar

Nadia, Mu'izz selamat bertunang

SHAH ALAM: Pelakon, Nadia Brian, bergelar tunangan kepada pengurus akaun di sebuah syarikat swasta, Mu’izz Nasruddin, dalam majlis istimewa yang diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 28, dan pasangannya dijangka disatukan pada September depan.

Bintang filem Kala Jengking itu berkata, tarikh pernikahan adalah berdasarkan persetujuan kedua-dua keluarga.

“Jika tiada aral, paling awal majlis kami mungkin dilaksanakan pada 19 September ini atau selewat-lewatnya sekitar Februari tahun hadapan.

“Tarikh yang dipilih juga adalah menerusi perbincangan keluarga, malah masing-masing berharap kami dapat disatukan lebih awal,” katanya yang memilih alam semula jadi sebagai tema majlis pertunangan.

Nadia yang manis mengenakan persalinan rona pastel menerima sebentuk cincin selain lima dulang hantaran berbalas tujuh.

Cincin pertunangan disarungkan ibu Muiz, Nona Suin, 59, sambil diperhatikan ibu pelakon itu, Husmarita Hussain, 49.

Kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada anggota keluarga dan rakan terdekat kedua-dua pihak menyerikan majlis berkenaan.

Pasangan ini mula rapat pada Oktober 2018. Pada Februari lalu, Nadia menerusi Instagramnya berkongsi gambar dilamar Mu'izz di Paris, Perancis, dengan berlatarkan Menara Eiffel.

Sementara itu, Mu’izz mengaku sikap mengutamakan keluarga dimiliki Nadia menambat hatinya untuk memilih pelakon berkenaan menjadi pasangan hidup.

“Nadia istimewa di mata saya kerana dia mempunyai sifat kekeluargaan yang sangat tebal dalam diri. Bukan sahaja keluarganya, Nadia turut diterima baik oleh anggota keluarga saya. Ia menguatkan keyakinan saya, dialah calon yang sesuai.

“Kami mula berkenalan kira-kira tiga tahun lalu menerusi temannya yang juga pelakon, Ainul Aishah, namun cinta mula berputik pada Oktober tahun lalu. Ketika diperkenalkan dahulu, dia sibuk merencana kerjayanya dalam bidang seni dan tidak mahu fokusnya terganggu.

“Malah, ketika itu kami juga tidak sempat pun keluar bersama. Alhamdulillah, siapa sangka jodoh kami datang beberapa tahun kemudian? Semoga perancangan kami untuk mendirikan rumah tangga dipermudahkan,” katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai komen negatif netizen mengenai dirinya dan Nadia, dalam nada tenang Mu’izz menjelaskan, dia bukanlah lelaki kaya raya seperti didakwa sesetengah pihak.

“Saya ada terbaca, kononnya jika tidak kaya, mana mungkin Nadia memilih saya. Sekadar makan gaji, saya hanya ahli korporat biasa. Mengenai lamaran pula, ketika itu kami bercuti ke Paris bersama-sama keluarga saya dan bukannya berdua.

“Buat masa ini, saya memilih untuk tidak mudah melatah dengan komen diberikan. Malah, keluarga juga tidak mempunyai masalah dengan status Nadia sebagai pelakon,” katanya.

Berita Harian X