Khamis, 9 Mei 2019 | 3:32pm
BIARPUN sukar, Elfira tetap gagahkan diri berpuasa sepanjang Ramadan. Foto Ihsan Elfira Loy

Elfira gagahkan diri berpuasa

KUALA LUMPUR: Biarpun berdepan dugaan dan kesukaran, Elfira Loy yang sedang hamil anak sulung tetap berusaha menjalani ibadah puasa.

Isteri kepada Muhammad Faris Khairol Anuar itu berkata, dia tidak mahu terlalu memanjakan diri hingga mengabaikan tanggungjawab melunaskan Rukun Islam ketiga itu.

Pemilik nama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu mengakui, pada hari pertama Ramadan, dia diuji apabila badannya kurang selesa, selain cepat loya dan kembung perut.

“Memang agak mencabar berpuasa ketika sedang berbadan dua. Pada hari pertama, pelbagai perasaan datang, namun saya cuba untuk tidak terlalu mengikut kata hati.

“Saya lelapkan mata dan apabila bangun, saya ke dapur menyediakan juadah berbuka. Alhamdulillah, saya dapat berpuasa penuh.

“Cuma pada hari kedua Ramadan, saya tewas. Ada ketika, saya dalam dilema sama ada mahu berpuasa atau tidak, tetapi selagi tidak membebankan diri dan membahayakan kandungan, saya akan cuba,” katanya.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Qaleesya itu berkata, dia sudah dimaklumkan doktor tiada masalah untuk berpuasa.

“Cuma, apabila berdepan alahan, itu yang membuat saya tidak berdaya. Dugaan setiap wanita hamil tidak sama, tetapi saya lawan juga perasaan itu,” katanya.

Elfira berkata, dia juga cuba kuatkan semangat untuk menunaikan solat tarawih bersama suami kerana tidak mahu melepaskan keistimewaan bulan mulia.

“Dorongan suami memberikan saya kekuatan untuk menunaikan tarawih. Memang ada ketika, saya rasa tidak selesa kerana belakang badan sakit dan cepat mengah, tetapi saya cuba lakukan juga,” katanya.

Elfira dan Faris mendirikan rumah tangga pada 1 Januari lalu.

Berita Harian X